Fiesta Sahabat AIM Sarikei 19 Oktober ini

SARIKEI: Lebih 700 sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan diraikan dalam Fiesta Sahabat AIM, di Pusat Inovasi Sarikei, pada 19 Oktober ini.

Pengurus AIM cawangan Sarikei, Fadillah Dahlan berkata, program bertujuan meraikan sahabat berikutan kejayaan AIM Sarikei mencapai kapasiti penuh kemasukan seramai 2,800 ahli sehingga September 2019 seperti yang ditetapkan oleh AIM Wilayah Sarawak Tengah.

Selain itu katanya, majlis juga memberi penghargaan kepada usahawan yang menggerakkan perniagaan mereka dengan modal pembiayaan AIM.

“Kita juga tidak melupakan sumbangan sahabat warga emas yang masih setia bersama AIM sejak dahulu sehingga sekarang,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Beliau berkata, pelbagai acara akan diadakan bagi menyerikan lagi program tersebut antaranya, sukaneka, pertandingan gubahan bunga, pertandingan menganyam ketupat, mewarna dan lain-lain lagi.

Program mengeratkan hubungan AIM dengan masyarakat.

Pada masa yang sama katanya, penganjur juga menyampaikan anugerah kepada sahabat yang menunjukkan prestasi yang baik sepanjang memanfaatkan modal pembiayaan AIM.

“Program ini membuktikan komitmen kita untuk mengurangkan kemiskinan kadar menerusi pengeluaran pembiayaan ikhtiar kepada penduduk miskin dan golongan wanita di kawasan luar bandar khususnya di bahagian ini.

“Ini juga salah satu pengiktirafan kita kepada sahabat selaras dengan matlamat untuk membiayai kegiatan ekonomi kecil-kecilan sejak 1987 sekaligus meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Majlis perasmian program dijangka akan disempurnakan Pengarah Operasi Borneo AIM Zon Sarawak, Che Mahdi Idris.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir memeriahkan fiesta bagi membolehkan mereka mengetahui kelebihan produk dan pembiayaan terkini yang disediakan oleh agensi berkenaan.

AIM Sarikei sentiasa komited membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan.

Suara Sarawak