
KUCHING: Pada usia 12 tahun, kanak-kanak lelaki ini sudah mengharungi pelbagai siri pembedahan dan menghabiskan hampir separuh hayatnya di hospital.
Berat mata memandang, berat lagi penderitaan yang dihadapi oleh Mohd Fikri Baharun, 12, yang menghidap pelbagai penyakit kronik dan hanya bergantung hidup dengan minum susu tepung khas.
Tinggal bersama-sama ibunya, Rose Atikah yang juga seorang ibu tunggal di Batu Kawa, Fikri difahamkan menghidap penyakit paru-paru kronik, kemungkinan besar radang paru-paru, batu dalam hati dan masalah buah pinggang sejak dilahirkan.
Anak kecil itu telah menghabiskan hampir separuh usianya di hospital, sejak dilahirkan sehingga berusia
empat tahun dengan menjalani pelbagai rawatan dan pembedahan yang tidak terkira banyaknya, termasuk pembedahan perut.
Meskipun begitu, kelangsungan hidup Fikri sangat ajaib kerana daripada banyak bayi yang menghidap penyakit serupa di Hospital Umum Sarawak (HUS), dia satu-satunya yang terselamat.
Walaupun keadaan fizikal Fikri kelihatan kecil untuk seorang budak lelaki berusia 12 tahun kerana kekurangan zat makanan, dia kini beransur pulih, malah sudah mampu ke sekolah tetapi harus minum susu khasnya secara konsisten.
Sementara ibunya, hanya bekerja sambilan sebagai pembantu rumah dengan pendapatan RM500 sebulan.
Rose berkata, bukan mudah untuk menjaga kanak-kanak seperti Fikri, namun dia harus kuat dan sedaya upaya menjaga anaknya itu dan pada masa yang sama cuba mencari pendapatan tambahan untuk memeruskan kelangsungan hidup mereka dua beranak.
“Fikri sentiasa mengalami masalah pernafasan, tiada selera makan dan tidak boleh makan makanan pejal kerana akan muntah,” ujarnya.
Kisah Fikri ini diperkenalkan oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat HUS kepada Persatuan Kebajikan Harapan (Hope Place) Kuching yang kini membantu Fikri dalam bekalan susu tepung khas.
Menurut Hope Place, pertama kali berjumpa dengan Fikri, pihaknya sedih kerana anak kecil itu mempunyai banyak parut di lehernya, mungkin kerana agak lama dimasukkan ke hospital sebelum ini.
“Tambahan pula, Fikri mempunyai masalah pembelajaran yang perlahan dan mempunyai kad orang kelainan
upaya, yang menyenaraikannya sebagai penghidap pelbagai penyakit.
“Kini kehidupan Fikri dan ibunya berada dalam kadar normal. Dia menghadiri kelas pendidikan khas di sekolah manakala ibunya bekerja.
“Sesekali Rose akan meminjam motosikal untuk membawa Fikri ke hospital bagi menjalani pemeriksaan,” ujar Hope Place.
Dalam pada itu, Fikri turut menerima RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.
Sementara pihak Hope Place sedang membantu Fikri dengan susu tepung khas dan beberapa bantuan makanan asas.
Untuk menderma hubungi Hope Place di talian 082-505987 atau menderma terus ke akaun Hope Place (MBB: 511289001160) atau lawati Facebook Hope Place untuk mendapatkan kod QR Sarawak Pay/ S PAY GLOBAL