Filem Jerunei bakal tampilkan sejarah silam Mukah

MUKAH: Satu filem bertajuk “Jerunei” akan dihasilkan berbentuk dokumentari bagi menjelaskan secara mendalam kisah disebalik wujudnya Jerunei di bahagian Mukah.

Menurut Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak Aidan Wing ketika ditemui Wartawan Suara Sarawak selepas majlis Keman Kaul hari ini, berkata filem tersebut masih dalam proses dan bakal dibuat pada tahun hadapan.

“Filem tersebut akan dihasilkan dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak dan Faderation of Melanau Sarawak, terkini pihak kami telah melibatkan aktress Nancie Foo untuk filem ini,

“Filem ini akan cukup hebat, kerana kita akan cuba menampilkan sejarah yang berlaku pada zaman dahulu, dengan keadaan rumah Melanau pada zaman dahulu.

“Kita akan cuba mereka kembali beberapa rumah lama kepada bentuk yang ada seperti dahulu di kampung-kampung di Mukah,

“Dan apabila kita bercakap mengenai Jerunei ini ia ternyata boleh membuat bulu roma individu yang memahaminya akan meremang,” katanya dengan wajah yang cukup gerun.

Beliau menambah perjumpaan bersama media akan kita buat di Kuching, dan akhirnya akan ada perjumpaan kemudiannya di Mukah.

“Kita juga akan membuat satu perbincangan dengan Majlis Adat Istiadat Melanau Sarawak supaya dalam kita menghasilkan filem ini ia ternyata dapat melambangkan adat, budaya dan tidak tertinggal fakta yang penting mengenai Jerunei ini,

“Jerunei ini mempunyai cerita yang tersendiri, dan perkara ini akan melibatkan ketua-ketua masyarakat di kawasan Mukah.

“Saya bersama dengan Majlis Adat Istiadat Melanau Sarawak telah membuat pertemuan sebanyak tiga kali dalam melihat sinopsis yang ada bagi filem ini.

“Ini supaya kita dapat menyampaikan jalan cerita yang boleh difahami oleh penonton dan tidak disalah anggap supaya tidak mendapat pandangan negatif dari semua tentang filem ini kelak,

“Kita mahu menunjukkan sesuatu perkara yang salah telah berlaku, tapi disampaikan dengan cara yang betul dan tepat,” katanya.

Dalam pada itu beliau menambah pihaknya merancang mengadakan pertemuan bagi memaklumkan tentang filem ini kepada media kelak di Kuching dalam masa terdekat.

Menurut masyarakat tempatan di Mukah Jerunei merupakan jerunai dijadikan tempat persemadian terakhir untuk golongan yang dihormati kaum Melanau atau golongan raja, bangsawan, pemimpin-pemimpin besar dan saudagar-saudagar yang bersifat dermawan kepada masyarakat ini.

Dan amalan menggunakan Jerunai ini telah dihapuskan apabila fahaman dan pengajaran agama seperti Kristian dan Islam mula bertapak di Mukah.