KUALA LUMPUR: Filem cereka Tamil Malaysia, Irumbuth Thottam – Ladang Besi, bakal ditayangkan di pawagam Australia bulan ini.
Menurut Bernama filem arahan pengarah baharu Jaydev Jayakumar itu membuka ruang baharu untuk filem Tamil tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Terbitan AVLT Production dan Jegen John Peter berdurasi 114 minit itu akan ditayangkan menerusi Melbourne Malaysian Indian Cultural Club.
Berlatarkan Sri Tebong, Melaka, filem bergenre drama penyiasatan jenayah itu mengisahkan siasatan polis terhadap pembunuhan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.
Filem menggunakan bahasa Tamil dan Melayu itu digambarkan sepenuhnya di Tebong dengan penglibatan lebih 50 penduduk tempatan sebagai pelakon sokongan.



