Flora, fauna diancam kepupusan

Sarawak merupakan antara negeri yang kaya dengan flora dan fauna di Malaysia.

Bagaimanapun pembangunan dan perkembangan dunia pesat maju kini menimbulkan kebimbangan terhadap flora dan fauna yang diancam kepupusan.

Haiwan seperti gajah, badak sumatra, tapir, harimau, kancil, napuh, orang utan, burung kenyalang, rusa samba, beruang matahari, kambing gurun, seladang, burung kuang, tikus hitam dan banyak lagi kini di ambang kepupusan.

Sementara pada peringkat global menurut BBC, dalam tempoh 20 tahun sejak 1980, hampir 100 juta hektar hutan tropika yang menjadi habibat flora dan fauna lenyap akibat aktiviti perternakan lembu di Amerika Syarikat (AS) dan perladangan kelapa sawit di Asia Tenggara.

Selain itu, kawasan tanah lembap turut terjejas dengan hanya 13 peratus kawasan yang wujud pada 1700 masih kekal sehingga 2000. Ini menjadikan 25 peratus daripada kehidupan flora dan fauna dunia bakal terancam dan mengalami kepupusan.

Memetik akhbar nasional pada April lalu, Jabatan Perhilitan berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar susulan tangkapan dua pemburu haram warga Vietnam dengan rampasan kira-kira RM600,000.

Dalam serbuan itu, antara rampasan itu melibatkan spesies harimau belang dan kumbang iaitu kuku dan taring, beruang matahari (hempedu, taring dan kuku) dan babi hutan (taring).

Antara peralatan memburu dirampas termasuk jerat dawai, parang, lembing, kapal dan pelarik kayu selain pasport dan telefon bimbit suspek dan dipercayai suspek sudah lebih empat bulan berada di Taman Negara berkenaan berdasarkan rekod dokumen perjalanan memasuki negara ini sejak Disember tahun lalu.

Ancaman Kepupusan

Keadaan ini jelas memperlihatkan, tiada kesedaran dalam kalangan manusia tetapi hanya mengaut keuntungan tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap hidupan liar ini.

Selain itu, Sarawak turut mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah kepupusan flora dan fauna ini selain tindakan oleh pihak berkuasa yang terlibat.

Memetik akhbar nasional, pada Februari lalu, sebanyak 60 lesen memburu buaya dikeluarkan sejak dua tahun lalu sebagai langkah mengawal peningkatan populasi reptilia itu bagi mengelakkan

wujud konflik dengan manusia di negeri ini agar terus seimbang.

Ini termasuk lesen bagi penjualan daging dan kulit buaya, terutama bagi tujuan perubatan serta produk kraf tangan. Timbalan Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Engkamat Lading berkata, pengeluaran lesen pemburuan dan penjualan buaya bertujuan mengimbangi populasi reptilia itu, sekali gus mengurangkan ancamannya terhadap manusia.

“Sekarang, buaya boleh ditangkap atau diburu bagi tujuan perdagangan pada peringkat domestik atau antarabangsa asalkan memiliki lesen sah dikeluarkan JHS,” katanya.

Engkamat berkata, pihaknya sudah banyak melakukan kajian di sepanjang sungai di Lawas dan mendapati populasi buaya katak meningkat.

“Kita tidak mahu spesies buaya mengalami ancaman kepupusan seperti haiwan liar lain di negara ini seperti badak,” tambahnya.

Itu ialah antara usaha pihak berkuasa untuk mengawal masalah kepupusan dan kelestarian hidupan di negeri ini.

Pendidikan

Pendidikan memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda tentang pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

Di Malaysia, pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dalam mata pelajaran Alam dan Manusia sejak dahulu.

Seterusnya menerusi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), khususnya dalam mata pelajaran sains seperti Biologi. Peringkat terakhir ialah pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran.

Pendidikan alam sekitar ini sepatutnya tidak bergantung dengan teori semata-mata sebaliknya menggunakan pendekatan praktikal.

Adalah penting sekiranya aktiviti seperti menanam tumbuh-tumbuhan, lawatan ke zoo negara, lawatan ke tempat pemuliharaan dan pemeliharaan diterapkan dalam pendidikan ini.

Selain itu, media massa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik masayrakat berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan flora dan fauna.

Pada masa kini, iklan berunsur pemeliharaan, pemuliharaan temasuklah kesedaran kepupusan dan ancaman terhadap hidupan liar kurang ditayangkan di kaca televisyen. Sebaliknya, iklan produk yang tidak mesra alam ditayangkan secara meluas.

Kesedaran

Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan masing masing dalam memupuk kesedaran terhadap kepentingan flora dan fauna.

Sebagi contoh, jika terserempak dengan hidupan liar di tengah jalan, cara terbaik adalah menghubungi Jabatan Perhilitan agar hidupan liar tidak menjadi mangsa pemburuan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Semua orang harus menjadi mata, telinga, dan mulut kepada kerajaan dalam usaha melindungi flora dan fauna ini.

Selain itu, usaha ini harus berterusan dilakukan dari semasa ke semasa oleh semua masyarakat. Jangan sampai generasi akan datang hanya mengenali hidupan flora dan fauna ini menerusi buku sahaja.