ARTIKEL

Focus Point sasar lonjak sumbangan segmen F&B dalam tempoh dua tahun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Peneraju penggiat industri optik, Focus Point Holdings Bhd, menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan segmen perniagaan makanan dan minuman (F&B) ke atas perolehan hasil kumpulan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Focus Point menerusi anak syarikat milik penuhnya, Multiple Reward Sdn Bhd, beralih kepada segmen F&B pada 2012 menerusi Komugi yang juga bakeri premium asli Jepun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Liaw Choon Liang berkata syarikat tempatan itu berhasrat untuk meningkatkan sumbangan hasil segmen F&B selain segmen optiknya.

Bersandarkan nisbah perolehan hasil segmen optik berbanding F&B pada 80:20 pada masa ini, beliau optimis terdapat banyak peluang bagi mengembangkan lagi segmen berkenaan.

“Kami yakin nisbah semasa pada 80:20 itu akan mengalami sedikit pelarasan dalam tempoh setahun dua ini, berkemungkinan beralih kepada angka 70:30 atau 60:40,” katanya kepada BERNAMA.

Liaw berkata segmen F&B juga masih baharu iaitu kira-kira 11 tahun berbanding segmen optik yang sudah bertapak selama 34 tahun.

“Berbeza dengan perniagaan optik yang menyaksikan kami telah bertapak kukuh, asas bagi F&B masih sederhana dan menawarkan peluang bagi tujuan pertumbuhan,” katanya.

Kumpulan itu telah lama bertapak sejak pembukaan cawangan pertamanya di Muar, Johor pada 1989 dan seterusnya disenaraikan di Pasaran ACE pada 2010 dan Januari 2023 menjadi detik bermakna apabila ia beralih ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Menjelaskan perancangan kumpulan, Liaw berkata Focus Point mempunyai matlamat jelas bagi kedua-dua segmen optik dan F&B.

Kumpulan itu bertindak mengukuhkan kehadirannya berteraskan segmen demografi yang pelbagai –Focus Point menumpukan pelanggan yang mewakili semua perigkat usia manakala Focus Point Signature bagi produk mewah, Focus Point Outlet serta Whoosh yang menawarkan pelbagai reka bentuk pada harga tetap dan berpatutan.

Ia juga baru melancarkan Focus Point SightSavers yang disasarkan ke bandar-bandar peringkat kedua dan ketiga lebih kecil di seluruh negara seperti Taiping dan Muar.

Dari segi perbandingan segmen Focus Point dan  Komugi, beliau berkata terdapat kira-kira 190 kedai Focus Point di seluruh negara manakala Komugi mempunyai kira-kira 12 cawangan di sekitar Lembah Klang.

“Sektor F&B sedang mengalami pertumbuhan berikutan asasnya yang kecil dan membolehkan pertumbuhan lebih pantas dan tinggi.

Ini pastinya memberi peluang besar kepada perniagaan, khususnya menerusi pengambilalihan pelanggan-pelanggan korporat bagi Komugi serta dalam usaha mendapatkan kehadiran runcit yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau turut berkongsi sasaran untuk mencapai nisbah perolehan hasil yang seimbang 50:50 daripada sektor korporat dan runcit berbanding nisbah semasa 60 peratus bagi korporat dan 40 peratus untuk runcit.

Komugi juga pada masa ini membekalkan produk pastri kepada pelanggan syarikat korporat terkemuka termasuk syarikat penerbangan, restoran rangkaian kopi, kafe, kedai serbaneka serta pasar raya.

Selain itu, Focus Point akan turut memperkenalkan konsep jenama baharu yang menumpukan outlet yogurt beku di gedung beli-belah Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur pada tahun depan.

Menyentuh peruntukan perbelanjaan modal (capex), Liaw berkata Focus Point menetapkan RM12 juta hingga RM13 juta bagi segmen optik membabitkan pembukaan cawangan baharu atau pengubahsuaian premis sedia ada.

Bagi Komugi, katanya, sejumlah RM6 juta hingga RM7 juta diperuntukkan khusus untuk premis sedia ada,

“Kami menyasarkan untuk membuka 10-15 cawangan bagi segmen optik pada tahun depan,” katanya.

Peruntukan capex untuk F&B akan disalurkan bagi kelengkapan dan peralatan baharu selain menaik taraf dua dapur utama di Kota Damansara (Petaling Jaya, Selangor) serta pembukaan tiga hingga empat lagi cawangan baharu Komugi,” katanya.

Di peringkat luar negara, terdapat kira-kira 20 peruncit Komugi di Filipina dan Brunei Darussalam yang beroperasi di bawah lesen francais utama.

Mengulas prospek kumpulan bagi tahun depan, Liaw yakin perniagaan optik kekal mantap berikutan semakin ramai, termasuk pelajar sekolah banyak menggunakan peranti.

“Kelengkapan bagi mata kini dianggap sebagai satu keperluan apabila ramai yang menghabiskan masa dengan peranti atau gajet, mengikuti pengajian secara dalam talian berikutan pandemik sebelum ini dan secara keseluruhannya peratusan masalah miopia (rabun jauh) semakin tinggi dalam kalangan rakyat negara ini,” katanya.

Beliau berkata prestasi kewangan untuk tiga suku tahun kewangan 2023 adalah lebih rendah berbanding 2022 berikutan sentimen tahun lepas didorong oleh optimis berkaitan pembukaan semula sempadan negara selain faktor apungan wang di pasaran berikutan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagi tempoh Jan-Sept 2023, Focus Point mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM19.67 juta berbanding RM25.40 juta bagi tempoh sama pada tahun lepas.

Dari segi prestasi, beliau berkata Focus Point mencapai peningkatan perniagaan yang amat ketara iaitu menghampiri 46 peratus pada tahun kewangan 2022 untuk kedua-dua perniagaan runcit.

Malah, hasil sebanyak RM248.82 juta yang dicatatkan pada tahun lepas adalah antara yang tertinggi bagi kumpulan berkenaan dengan segmen optik menyumbang sebanyak RM202.64 juta (meningkat 81 peratus tahun ke tahun) manakala sumbangan segmen F&B mencecah RM36.89 juta (menokok 15 peratus). – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Swift Haulage sasar sumbangan pergudangan naik 25 peratus

KLANG: Swift Haulage Bhd menyasarkan sumbangan daripada segmen perkhidmatan pergudangan dan depoh kontena naik 25 peratus berbanding 15 peratus pada masa ini. Ketika ini perkhidmatan pengangkutan kontena dan

Eksport orkid sumbang RM4 bilion setahun

HASIL eksport orkid Malaysia mampu menyumbang RM4 bilion kepada industri florikultur di Malaysia kerana mendapat permintaan tinggi dari negara luar. Ketua Unit Industri Florikultur (Bahagian

BERITA TERBARU

Allahyarham Tun Taib, Arkitek Pemodenan

MIRI: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud digambarkan sebagai seorang Arkitek Pemodenan kerana sepanjang perkhidmatannya sebagai Ketua Menteri, beliau berjaya mengangkat serta