KUCHING: Bantuan membantu golongan sasar untuk keluar dari kepompong kemiskinan terus menjadi fokus Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu bahawa ia bagi mengurangkan pertambahan bilangan permohonan setiap tahun di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Justeru, kita mengetengahkan pelbagai program berkaitan seperti program ‘2 Years Exit Programme’ (2YEP) bagi memberi peluang kepada penerima bantuan kebajikan untuk ke arah hidup berdikari.
“Bagi program tersebut, kita akan bantu sediakan modal, peralatan serta bimbingan yang diperlukan untuk mereka berniaga dalam tempoh dua tahun dan akan dipantau.
“Setakat tahun 2022, seramai 4,921 individu yang terlibat mampu berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan kebajikan di bawah program 2YEP dan program-program lain di bawah JKM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Kasih Ramadan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan kerjasama Kumpulan Sunway di Kampung Beradek, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, jumlah individu yang berjaya dalam program tersebut sememangnya kecil berbanding jumlah keseluruhan ratusan ribu golongan sasar di bawah JKM.
“Namun, ia merupakan satu progres yang sangat positif kerana selain 4,921 individu tersebut, ada juga yang masih dalam pemantauan dan diharapkan dapat berjaya,” katanya ringkas.