Fokus kemudahan penjagaan orang tua

KUCHING: Lions Nursing Home Kuching (LNHK) perlu mempunyai perancangan awal tentang kemudahan penjagaan warga emas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ini kerana sektor perkhidmatan
penjagaan warga emas semakin berkembang.

“Saya berharap mereka (LNHK) merancang lebih awal dan melihat kemudahan untuk penjagaan warga emas di pusat ini. Jika tidak, mereka akan ketinggalan.

“Penduduk Sarawak akan menjadi negara tua menjelang 2030, dan keperluan warga emas sedikit berbeza daripada
rumah jagaan,” katanya semasa merasmikan Pesta Makanan Tahunan Amal LNHK 2019 di Jalan Stutong, semalam
Kui Hian yang juga Adun Batu Kawa menyatakan kakitangan LHNK fokus kepada perkhidmatan penjagaan warga
emas.

“Jika mereka berkhidmat dan  menjaga hanya disebabkan oleh wang semata-mata, saya akan kecewa. Ini kerana berkhidmat dan menjaga warga emas, perlu datang dari hati yang ikhlas.

“Penghuni rumah in perlukan kasih sayang, bukannya wang,” tegasnya.

Pesta Makanan Tahunan LNHK 2019 berlangsung selama sehari bermula jam 7 pagi hingga 12.30 tengah hari dianjurkan oleh 14 Kelab Lions di Kuching, Serian, Kota Sentosa dan Kota Samarahan.

Pengerusi Penganjur Jeff Lee Jiong Khai menjelaskan, program tahun ini turut disertai Kelab Lions dari Kota Kinabalu dan Pulau Pinang. Sebanyak 80 gerai disediakan dengan sasaran kutipan dana
sebanyak RM200,000.

“Kami yakin dapat mencapai sasaran ini kerana pelbagai jenis makanan dijual dan sambutan orang awam sangat mengalakkan,” ujarnya.

Suara Sarawak