PDRM cari Rizal, belasah pemborong sayur separuh mati

Fokus pelancong bernilai tinggi

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menganggap sasaran Kerajaan Persekutuan tepat berhubung ketibaan pelancong asing melebihi 15 juta orang dengan memberi pulangan RM47.6 bilion.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung akan membantu memulihkan sektor pelancongan negara.

Menurutnya, peruntukan RM200 juta yang diperuntukan dalam Bajet 2023 adalah patut untuk tujuan galakan, promosi, pemasaran dan aktiviti pelancongan.

“Tumpuan kerajaan adalah kepada pelancong bernilai tinggi terutama dalam segmen pasaran khusus seperti ekopelancongan, sukan, scuba dan konvensyen antarabangsa.

“Pemberian Geran Padanan Galakan Melancong (GAMELAN) melibatkan kempen promosi dan pemasaran bersama industri adalah tepat dan akan diterima baik oleh pemain industri,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Tambahnya, pemberian geran tersebut mampu menjadi pemangkin dan insentif penganjuran program pelancongan berskala besar termasuk acara sukan antarabangsa.

“Inisiatif ‘Sia Sitok Sarawak’yang dirancang dan dilaksana Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) selama ini akan mengalami anjakan dengan adanya galakan Keluarga Malaysia melancong di destinasi pilihan dalam negara,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas persetujuan peruntukan RM25 juta bagi menyediakan insentif kepada rakyat dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat bagi penginapan, pakej pelancongan, kraf tangan dan karya seni sehingga RM100.

“Kita mengalu-alukan bantuan yang bakal diberikan kepada pengusaha pelancongan dengan Kerajaan Persekutuan bercadang melaksanakan inisiatif Pembiayaan Pelancongan BNM dengan dana RM500 juta.

“Ini termasuk meningkatkan had pembiayaan maksimum daripada RM300,000 kepada RM500,000 serta pengecualian cukai 100 peratus diberikan ke atas pendapatan berkanun bagi pengendali pelancongan yang membawa sekurang-kurangnya 200 pelancong asing setahun atau mengendalikan sekurang-kurangnya 400 pelancong tempatan,” katanya.

Tegasnya, Sarawak akan turut menikmati usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan kesihatan dengan galakan cukai sedia ada terhadap eksport perkhidmatan jagaan kesihatan swasta dilanjutkan hingga 2025.

Ujar Karim, peruntukan kepada Malaysia Healthcare Travel Council berjumlah RM20 juta adalah untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong kesihatan.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

30 Mac 2023

Berita Terbaru