BELADIN: Lokasi Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah bakal ditempatkan di Dalat, sementara pejabat cawangan didirikan di Daerah Pusa.
ADUN Beting Maro yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah, Razaili Gapor berkata Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah baru-baru ini memuktamadkan beberapa perkara termasuk pengoperasian segera.
Katanya, turut diputuskan melibatkan ibu pejabat lembaga berkenaan yang ditempatkan di Dalat dalam Bahagian Mukah.
“Usaha itu untuk memberikan fokus penuh kepada pembangunan industri sagu.
Tambahan tapak juga sudah dikenal pasti dan tersedia.
“Di samping itu, mesyuarat secara dasar bersetuju bahawa pejabat kedua lembaga atau pejabat cawangan diwujudkan di Daerah Pusa untuk menumpukan sepenuhnya kepada industri nipah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak selepas meninjau rumah yang terkesan akibat ribut di sini, semalam.
Jelasnya, sementara menunggu ia siap, lembaga menggunakan Pejabat Craun Research sebagai pejabat sementara.
Menyentuh kedudukan Craun Research, Razaili menyatakan ia masih menunggu keputusan sama ada mereka diserap terus atau menjalankan fungsi sebagai lembaga.
“Yang pasti, tempat dan kakitangan Craun Research turut membantu lembaga,” ujarnya.
Tambahnya, pada Isnin proses temuduga pemilihan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) turut diadakan.
“Sebagai agensi baharu kita memerlukan CEO atau Pengurus Besar serta kakitangan.
“Jadi, pada 17 Julai temuduga pemilihan CEO diadakan, yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah bersamasama ahli panel lain.
“Sekarang, kita menunggu pengesahan daripada Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
“Setelah urusan CEO dan kakitangan selesai, kita akan segera mulakan operasi.
Jika kabinet meluluskan dengan segera, kita tidak mahu ia tertangguh, tambahan pula Ordinan Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah sudah ada sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),” katanya.
Razaili turut optimis lembaga dapat membantu mengangkat industri sagu dan nipah menerusi perancangan baharu serta bergerak ke tahap lebih tinggi demi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Langkah itu seterusnya membantu Sarawak dengan menyumbang keluaran dalam negara kasar (KDNK) menerusi insdustri sagu dan nipah.