Fokus perangi Covid-19

KUCHING: Syarat memastikan 80 peratus rakyat divaksin sebelum PRU-15 boleh diadakan akan mengundang pelbagai spekulasi, andaian dan rasa kurang senang terutamanya dalam kalangan ahli politik dan penyokong tegar mereka, kata Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman.

Menurut penganalisis politik itu, perkembangan itu jika benar-benar berlaku, berpotensi membantutkan usaha menyegerakan PRU seperti yang sedang diusahakan oleh banyak pihak sejak sekian lama.

“Sebaliknya bagi sebahagian rakyat, mereka lebih mementingkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat mengatasi yang lain termasuk isu politik.

“Mereka melihat kenyataan ini sebagai satu langkah positif ke arah memastikan keselamatan rakyat lebih diutamakan. “Dengan kata lain kenyataan ini boleh dilihat dari dua sudut yang berbeza, terpulang kepada persepsi masing-masing,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof bahawa PRU-15 tidak akan diadakan selagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) belum mencapai 80 peratus rakyat mendapat suntikan vaksin Covid-19.

Menjelas lanjut beliau berkata, antara sentimen yang bakal dibangkitkan adalah persepsi bahawa kerajaan semasa seolaholah mencari apa-apa juga alasan dan ruang bagi memastikan penguasaannya dalam kerajaan masih dipegang.

Katanya, persepsi sedemikian sudah pasti sukar untuk ditepis biarpun jika hasrat yang disampaikan itu mungkin berniat baik, malah ia juga berpotensi menjadi bahan yang akan dipolitikkan sehingga menjadi di luar kawalan jika tidak ditangani dengan baik.

Justeru Mohd Fadzil berkata, sebaik-baiknya pada waktu ini tidak perlu ada apa-apa kenyataan dikeluarkan lebih-lebih lagi yang berkaitan PRU. “Ini kerana yang penting ketika ini, tumpuan sepatutnya usaha untuk memerangi Covid-19 dan menyegerakan pemberian vaksin.

“Soal PRU usah dikaitkan, sebaik-baiknya lebih afdal diserahkan saja kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk membuat sebarang kenyataan. “Ia bukan sesuatu yang boleh diumumkan begitu saja tanpa melihat perspektif yang lebih besar dan menyeluruh serta implikasinya kepada kestabilan semasa,” katanya.

Bagaimanapun bagi Sarawak katanya, situasi agak berbeza dengan status PRU memandangkan tempoh akhir untuk PRN-12 sudah semakin hampir. “Pada waktu ini, hanya pengisytiharan darurat yang menjadi penghalang PRN tidak dapat dilaksanakan.

“Situasi Covid-19 di Sarawak yang sedang meningkat juga mungkin boleh dijadikan pertimbangan terhadap penangguhan PRN, namun ia bukan faktor penghalang mutlak untuk dijadikan sandaran melainkan sekiranya pandemik yang melanda itu sudah tidak terkawal,” katanya.

Suara Sarawak