Semua sekolah di Sarawak akan dinaik taraf mengikut standard tertentu

Fokus, tenang hadapi SPM

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
BERSEDIA…pelajar di Sekolah Menengah Sains Kuching, di sini bersedia untuk memasuki Dewan Peperiksaan.
BERSEDIA…pelajar di Sekolah Menengah Sains Kuching, di sini bersedia untuk memasuki Dewan Peperiksaan.

SEMALAM seramai 403,637 calon akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 hingga 15 Mac, melibatkan 3,355 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Sudah pasti perasaan berdebar-debar menyelubungi pelajar yang menghadapi peperiksaan ini kerana perjuangan mereka selama lima tahun bakal terjawab.

Dengan persediaan, pengorbanan masa, fokus, katakata nasihat dan motivasi dari rakan, guru, keluarga dan orang sekeliling, ia menjadi pendorong pelajar menjawab soalan di dewan peperiksaan dengan keyakinan.

Jika kita imbas kembali calon yang mengambil peperiksaan SPM tahun 2021, ia merupakan cabaran besar kepada pelajar menduduki peperiksaan SPM itu, memandangkan mereka kurang mendapat peluang belajar secara bersemuka di sekolah berikutan penularan pandemik Covid-19.

Berbeza dengan pelajar SPM tahun ini, mereka berpeluang menjalani sesi persekolahan secara fizikal ketika tingkatan empat dan lima tanpa menghadapi kemelut pembelajaran.

Justeru pelajar yang menghadapi SPM tahun ini perlu berusaha sehabis baik supaya apa yang dipelajari, diusahakan oleh mereka sebelum ini membuahkan hasil.

Bagi peperiksaan SPM ini, pelajar diwajibkan untuk lulus subjek bahasa Melayu dan bermula tahun 2013, mata pelajaran Sejarah telah diwajibkan lulus kepada semua calon yang menduduki SPM.

Ini bermakna jika pelajar gagal dalam mata pelajaran BM dan Sejarah, pelajar akan diberikan status gagal dalam pencapaian SPM mereka.

Oleh itu, setiap calon perlu berusaha bersungguhsungguh mempelajari subjek ini bukan untuk melepasi peperiksaan tetapi untuk pengetahuan dan kepentingan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Sebagai pelajar, kita berperanan untuk mencuba sehabis baik dan tidak berputus asa sebelum perjuangan sebenar.

Kita perlu memberikan segalagalanya yang kita pelajari.

Manakala bagi ibu bapa pula, waktu peperiksaan ini adalah sangat penting kerana mereka ialah guru dan rakan karib yang sentiasa berada bersama-sama anak-anak di rumah.

Galakan, bimbingan serta nasihat daripada ibu bapa sangatlah penting bagi meningkatkan motivasi anak-anak yang menduduki SPM.

Selain ibu bapa, guru berperanan penting dalam memastikan semua anak didiknya mampu memahami apa yang diajar dan seharusnya memberi sokongan dengan memberikan keselesaan yang sewajarnya.

Selain itu, tip bagi pelajar menguruskan masa dengan baik supaya tidak cemas pada hari peperiksaan adalah tiba awal di sekolah pada hari peperiksaan, ambil sarapan pagi dan bawa air mineral bersama kerana pengambilan air secukupnya boleh mengurangkan tekanan serta debaran.

Jika tertekan semasa belajar, jangan paksa diri dan berehat seketika kerana kalau kita hendak belajar dan membuat ulang kaji ini, pelajar perlu berada dalam keadaan tenang kerana kalau hendak serap ilmu kena dalam keadaan yang selesa.

Pelajar perlu mencuba untuk melakukan perkara yang boleh hilangkan tekanan atau saat otak tepu iaitu seimbangkan dengan perkara lain seperti menyanyi, mengambil udara segar, menonton televisyen dan sebagainya.

Namun, ia perlu diseimbangkan supaya pelajar tidak terlalu taasub dengan hiburan lain dan melupakan pembelajaran mereka. Selain itu, pelajar juga perlu berusaha untuk meningkatkan motivasi dan tidak menjadikan sebagai alasan untuk pencapaian yang kurang memberangsangkan.

Walau apa-apa pun cabaran yang perlu dihadapi, motivasi dalam diri dapat membantu pelajar untuk sentiasa bergerak ke hadapan dan menjalani kehidupan dengan sebaiknya.

Apabila habisnya peperiksaan SPM nanti, perlu diingatkan bahawa kejayaan SPM tidak boleh dijadikan kayu ukur mutlak, sebaliknya perlu mengambil kira keupayaan mereka dalam pendidikan seterusnya.

Ia bukan penamat kerana banyak lagi liku-liku yang perlu ditempuh oleh seseorang bermula selepas SPM dalam mencari ilmu sehingga boleh masuk ke dalam alam pekerjaan.

Jika keputusan cemerlang, baik ataupun sebaliknya, perjalanan pelajar ini tidak boleh terhenti setakat SPM sahaja kerana mereka boleh menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Banyak lagi peluang yang dibuka oleh kerajaan selepas menamatkan SPM, antaranya memilih saluran untuk ke tingkatan enam; pengajian asasi, matrikulasi atau diploma; A-Level bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara dan kemahiran dan bidang teknikal.

Sekarang terdapat pelbagai haluan pendidikan selepas SPM dalam bidang teknikal dan latihan kemahiran seperti peluang-peluang pembelajaran di Politeknik; Institusi Pendidikan Mara; Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan; Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia; TVET Mara; Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian; Kolej Komuniti dan Latihan Kemahiran Giatmara.

Justeru, penulis ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada calon-calon SPM dan selamat menjawab soalan dengan baik.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Elak pembaziran

MASYARAKAT Islam bakal menyambut bulan Ramadan AlMubarak dalam masa terdekat,

E-Paper

23 Mac 2023

Berita Terbaru