Foodpanda lebar sayap ke luar bandar

MUKAH: Platform perkhidmatan penghantaran makanan terkemuka di Asia Tenggara, Foodpanda terus memperluas jaringannya di seluruh negara dan kini memasuki ke kawasan luar bandar di Sarawak.

Pada Khamis lalu, buat pertama kalinya Foodpanda beroperasi di Mukah. Menurut Kapten Pasukan Penghantar Makanan Foodpanda Mukah (Panda Champion) Muna Salihie, hari pertama perkhidmatan Food Panda Mukah beroperasi, ia mendapat sambutan positif warga tempatan.

“Sambutan penduduk Mukah agak luar biasa dan sangat menggalakkan. Ini jauh daripada jangkaan kami sebelum ini.

“Saya sangat berterima kasih dengan kerjasama yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Muna menjelaskan, pada hari tersebut semua penghantar makanan di Mukah sibuk kerana menerima banyak tempahan penghantaran makanan hingga waktu malam.

Setakat ini ujarnya, untuk zon Mukah sahaja seramai 16 penghantar makanan Foodpanda bekerja mengikut shif ditetapkan untuk peringkat awal, sebelum mereka bebas memilih syif bekerja mengikut waktu sendiri.

“Semua penghantar makanan yang bekerja pada hari pertama sangat berpuas hati dengan tugasan masing-masing.

“Kita sedia maklum, setiap pekerjaan memang memerlukan pengorbanan.

“Maka pengorbanan penghantar makanan Foodpanda ini memenuhi permintaan pelanggan tidak mengira masa dan cuaca, paling penting makanan yang dipesan sampai dengan baik ke tangan pelanggan,” tegasnya.

Beliau menambah, dari segi had jarak penghantaran pula ditetapkan sendiri oleh pihak Foodpanda agar ia tidak terlalu membebankan para penghantar iaitu tidak melebihi daripada had zon yang ditetapkan.

Muna yang juga salah seorang daripada lapan Kapten Foodpanda di Sarawak berkata, setiap kakitangan Foodpanda sentiasa diingatkan untuk sentiasa mengutamakan sanitasi kebersihan yang optimum.

Mengulas sambutan daripada sektor makanan dan minuman (F&B) sekitar Mukah pula, katanya, rata-ratanya menyokong perkhidmatan yang ditawarkan oleh Foodpanda.

Kami berharap pihak F&B dan kakitangan Foodpanda di Mukah terus berkolaborasi dengan baik dalam memberi khidmat yang memuaskan kepada pelanggan secara berterusan.

“Kami juga berharap penduduk luar Mukah terus menyokong perkhidmatan penghantaran makanan yang ditawarkan kerana mereka juga memainkan peranan merancakkan semula ekonomi setempat di samping mencari rezeki,” katanya.

Selain itu katanya, pihak pengurusan mengambil pekerja baharu secara berperingkat-peringkat sekiranya terdapat keperluan.

“Mewakili semua kakitangan Foodpanda di Sarawak saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Senior Kapten Foodpanda Sarawak Allistar Agan kerana beliau orang penting yang membawa Foodpanda ke Sarawak sehingga berkembang luas,” dedahnya.

Difahamkan pada Khamis lalu juga, Foodpanda turut memulakan operasinya di zon Bau, dan kini untuk zon Daro, Sibu Jaya, Bintangor serta Siburan.

Foodpanda kini juga mencari vendor F&B yang ingin menjalin kerjasama dalam menyediakan perkhidmatan makanan dan minuman kepada pelanggan.

Suara Sarawak