KUALA LUMPUR: Jaringan akrobatik ayam tambatan, Fernando Forestieri membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini dengan menumpaskan Terengganu FC, 3-1, dalam aksi dicemari dua kad merah pada saingan Liga Super, malam semalam
Walaupun aksi seimbang disajikan kedua-dua pasukan sebaik permainan bermula di hadapan 11,000 penonton di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, namun magis Forestieri mengejutkan tuan rumah apabila menyambut umpanan tonggak tengah Mohd Afiq Fazail, dengan mendada bola sebelum melepaskan sepakan akrobatik dari luar kotak penalti untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-20.
Tersentak dengan gol tersebut, usaha Terengganu untuk merobek gawang JDT membuahkan hasil apabila pemain import, Sony Norde menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma padu, lapan minit kemudian.
Bagaimanapun, terjahan Norde ke atas pemain sayap lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi membawa padah kepada tuan rumah sekali gus menyaksikan Bergson da Silva menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan Harimau Selatan kembali di depan pada minit ketiga masa kecederaan separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Sang Penyu dirundung malang apabila terpaksa bermain dengan sembilan pemain selepas pertahanan import dari Montenegro, Argzim Redzovic mengasari Forestieri pada minit ke-52 dan penyerang gantian, Ivan Mamut pula diperintah keluar padang apabila menyiku pemain pertahanan lawan, Muhamad Feroz Baharudin pada minit ke-74.
Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya pasukan bimbingan Esteban Solari untuk melancarkan serangan demi serangan dan hasilnya mereka berjaya memecahkan keampuhan benteng tuan rumah pada minit kelima masa kecederaan menerusi sepakan Endrick Dos Stantos bagi menoktahkan kemenangan JDT.
Kemenangan ke-14 menyaksikan JDT terus unggul tanpa dicabar di persada Liga Super dengan 42 mata manakala Terengganu di tangga ketujuh dengan 20 mata.
Sementara itu, aksi penuh dramatik pula berlaku di Stadium Darul Makmur, Kuantan, dengan tuan rumah, Sri Pahang FC, bangkit daripada ketinggalan dua gol pada babak pertama untuk mengatasi Negeri Sembilan FC, 4-3.
Ketua pasukan Sri Pahang, Kpah Sherman muncul wira apabila jaringan pada minit keempat masa kecederaan separuh masa kedua untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat pasukannya.
Terdahulu, Negeri Sembilan mendahului 1-0 pada minit kelapan menerusi Herold Mark Goulon dan giliran Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menggandakan jaringan pelawat pada minit ke-15.
Skuad Tok Gajah berjaya merapatkan jurang pemisah hasil ledakan penalti oleh pemain pertahanan Stefano Brundo pada minit ke-23 namun Negeri Sembilan pantas mencetak gol ketiga menerusi ledakan penyerang import Anselmo Arruda Da Silva seminit kemudian untuk memberikan pasukannya bekalan selesa menuju ke bilik persalinan.
Tandukan pemain gantian, David Rowley pada minit ke-79 mencetuskan kebangkitan buat anak buah Fandi Ahmad dan mereka terus menyamakan kedudukan oleh jaringan kedua peribadi Brundo pada minit ke-90 sebelum Sherman melengkapkan malam penuh bergaya buat Sri Pahang.
Sri Pahang yang mengutip 28 mata kekal di kedudukan keempat dan dan Negeri Sembilan tidak berganjak dari kedudukan kesembilan selepas mengumpul 18 mata- BERNAMA