PENULIS hanya berusia sekitar 12 ke 13 tahun, ketika “Ngap Sayot” muncul sebagai jenama paling hebat di Bumi Kenyalang.
Ngap Sayot merupakan slogan skuad bola sepak Sarawak pada tahun 1988-1989, yang ketika itu dipimpin oleh Awang Mahyan Pengiran Mohamad.
Awang Mahyan, dengan rambut panjang, bermisai selerak dan muka menyinga, merupakan ikon yang amat digeruni.
Dianggap seorang yang kasar dan “gaok”, namun hakikatnya berjaya menukar skuad kerdil dan belasahan ini menjadi pasukan yang digeruni.
Benar, Ngap Sayot hebat kerana Awang Mahyan.
Bukan kerana strategi dan kehebatan teknikalnya, kerana keupayaan mengumpulkan anak-anak muda berbakat di seluruh negeri ini, membasuh minda dan membakar semangat juang mereka secara luar biasa.
Beliau yang menerima jawatan tersebut sebagai menyahut cabaran Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang diketuai Allahyarham Datuk Mohd Taha Ariffin ketika itu, setelah ketua jurulatih Mohamad Che Su dari Kelantan melepaskan jawatan.
Ada bermacam-macam versi bagaimana nama Ngap Sayot ini timbul.
Ada yang mengatakan, idea ini timbul ketika Awang Mahyan dan beberapa rakannya, yang juga para pemain dalam skuad Sarawak ketika itu bermain snuker.
Dan ia ditafsirkan sebagai seorang yang mudah dibelasah.
Versi lain, ada pemain dalam skuad Sarawak ketika itu menjelaskan kepada penulis, perkataan “ngap” itu hadir kerana ada dalam kalangan mereka suka kepada permainan “Pacman” – yang popular waktu itu.
Apa-apa pun, dalam kalangan orang kebanyakan, istilah Ngap Sayot itu amat menarik, kerana ngap bermaksud “tangkap” atau “makan” manakala sayot bermaksud “hayun sampai tersungkur”.
Yang pasti, nama Ngap Sayot itu begitu unik, kerana telah menjadi medan penyatuan segenap lapisan rakyat Sarawak, tanpa mengira umur, jantina dan bangsa.
Ia kali pertama mereka bersatu dan bergembira bersamasama biarpun ada yang tidak minat bola.
Ia landasan melepaskan ketegangan setahun selepas mengalami insiden perpecahan terbesar akibat politik, iaitu peristiwa Ming Court yang berlaku pada 1987.
Awang Mahyan pernah memberitahu, beliau memilih pemainpemain yang cukup berdisiplin dan sanggup berkorban apa sahaja demi bola sepak pada waktu itu.
Harus diingat, kebanyakan pemain ini bukan bermain sepenuh masa; malah ada yang terikat dengan jadual kerja.
Dan tindakan beliau itu betul, kerana daripada skuad yang dikenali sebagai The Dirty Dozen itulah muncul nama-nama seperti Mohd Ali Sapiee, Affendi Jol, Khairul Jamel, Roslan Mustafa dan pemain-pemain unik seperti Abdul Jalil Rambli yang mampu melontar bola hingga ke dalam kotak penalti, Abu Bakar Amran yang pantas dan tahan lasak, dan Roslan Ismail yang mampu membuat over-lapping berkali-kali tanpa lelah.
Tetapi yang menjadikan skuad ini hebat sebenarnya ialah kesatuan hati, semangat berpasukan dan kekeluargaan dalam kalangan pemain serta pengurusan.
Seorang pemain lawan pernah berkata, amat sukar menentang pemain Sarawak kerana mereka tidak pernah lelah.
Sentiasa ada pemain yang berada di belakang pemain yang lain, berlapis-lapis sehingga sukar untuk ditembusi.
Selain itu, apabila ada dalam kalangan pemain Sarawak dikasari, maka mereka yang mengasari, akan mendapat balasan yang sama daripada pemain lain.
Malah apabila berlaku insiden pergaduhan, seluruh pasukan termasuk penjaga gol akan turut bertindak balas.
Ini yang menjadikan pasukan ini cukup istimewa dan digeruni.
(Penulis masih ingat akan imej Roslan Ismail yang terbang tinggi ketika menyerang pemain lawan yang sempat dirakam oleh jurugambar akhbar nasional ketika itu).
Kerana itu jugalah pasukan lawan cukup gerun apabila bertandang ke kubu kuat Ngap Sayot di Stadium Negeri.
Bukan sahaja sorakan penyokong berbaju merah yang tidak berbelah bahagi, malah reaksi para peminat juga sentiasa membantu melancarkan perang psikologi.
Antaranya termasuklah melepaskan kucing hitam ke dalam padang, sehingga dikaitkan dengan penggunaan bomoh dan ilmu hitam.
Yang pasti, skuad Ngap Sayot pada waktu itu telah mencipta sejarah yang tersendiri.
Bukan sahaja menyatukan rakyat Sarawak, ia juga membawa pasukan bola sepak negeri ini ke tahap yang cukup digeruni.
Layak ke separuh akhir Piala Malaysia 1988 namun gagal ke pentas final.
Insiden pertama menyaksikan skuad Sarawak terpaksa bermain di stadium berkecuali susulan Stadium Negeri “pecah” selepas dimasuki 30,000 penyokong (kapasiti sebenar sekali ganda kurang daripada itu) sehingga para penyokong terpaksa duduk di balapan.
Perlawanan yang sepatutnya bermula jam 8.15 malam terpaksa bermula sekitar jam 10.00 malam.
Penulis sendiri menjadi saksi insiden ini, kerana pada malam itu duduk bersama-sama penyokong lain di balapan setelah pagar keselamatan dipecahkan.
Biarpun permainan berjaya dimulakan, namun skuad Kedah membuat bantahan ketika itu, apabila Awang Mahyan secara tibatiba meluru ke dalam padang bagi membantah keputusan pengadil.
Akhirnya, skuad Sarawak terpaksa bermain di stadium tanpa penyokong di Stadium Nasional, Singapura – sesuatu yang disifatkan oleh dua pemain kebangsaan ketika itu; Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh sebagai malang.
Mereka malah yakin skuad Sarawak mampu mencipta sejarah tersendiri pada waktu itu.
Insiden kedua yang turut melibatkan Sarawak ialah boikot skuad Ngap Sayot terhadap pengadilan berat sebelah oleh Steven Ovinis, ketika menentang skuad Wilayah Persekutuan (KL) pada aksi suku akhir Piala Malaysia di Stadium Merdeka.
Ketika itu, skuad Sarawak membantah tindakan Ovinis melayangkan kad kepada salah seorang pemainnya yang didakwa pura-pura cedera.
Ia kemudian berakhir dengan kemasukan skuad anti-rusuhan FRU yang bertindak memukul para pemain Sarawak dan melontar bom asap seolah-olah pemain Sarawak ketika itu merusuh.
Insiden ini hampir sahaja menjadikan pasukan Sarawak berundur daripada FAS, malah menyebabkan Raja Abdullah (kini Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong) yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia ketika itu terpaksa terbang ke Kuching untuk melakukan bujukan.
Kata Awang Mahyan kepada penulis beberapa tahun lalu, kegemilangan skuad Sarawak ketika itu adalah kerana keyakinan dan ketegasan.
“Untuk menjadi jurulatih yang baik, harus bermula daripada diri kita.
Perlu profesional, tidak takut dan tidak pilih bulu. Letakkan kepentingan pasukan di hadapan, dan biarkan keputusan bercakap dengan sendirinya,” katanya.
Awang Mahyan berkata, psikologi, motivasi dan strategi amat penting dalam membezakan setiap jurulatih, selain tegas.
Malah katanya, setiap jurulatih perlu ada strategi tersendiri.
Dan bagi beliau, setiap pemain akan dipastikan melakukan seks, bagi mengelakkan mereka berasa tertekan.
“Malah membolehkan mereka fokus untuk beraksi lebih baik.
Ia katanya, merupakan salah satu daripada 6 ciri ‘S’ yang perlu ada pada setiap pemain bola sepak.
S lain ialah size, stamina, skill (kemahiran), speed (kelajuan) dan strength (kekuatan).
Formula lain katanya, adalah dengan memastikan para pemain turun berlatih dengan keutamaan pada simulasi perlawanan 11 sebelah sesama sendiri.
“Namun ketika mereka baru ‘panas’ dan ‘seronok’ bermain, saya akan hentikan permainan, malah tamatkan latihan. Saya mahu mereka berasa geram!” tambahnya lagi.
Katanya, dua hari sebelum perlawanan, para pemain akan diberi rehat secukupnya dan berlatih ringan. ”
Ini kerana tubuh badan yang sama digunakan untuk berlatih, dan tubuh badan yang sama untuk bermain.
Justeru ia perlu rehat yang lebih sebelum dikerahkan untuk aksi sebenar,” tambahnya lagi.
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.