Formula baharu bangunkan Sarawak

MATU: Kerajaan GPS akan terus mencari formula baharu untuk membangunkan negeri ini demi manfaat seluruh rakyat Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu penting bagi memperkasakan pembangunan untuk rakyat termasuk di pedalaman dan luar bandar Sarawak.

Malah katanya, kawasan luar bandar mempunyai pelbagai aspek berpotensi untuk dibangunkan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang.

“Contohnya, mewujudkan Lembaga Pembangunan Industri Rumbia untuk membangunkan industri sagu dengan pendekatan lebih moden.

“Inisiatif ini dilakukan kerana nilai sagu hari ini tinggi. Justeru, kita membangunkannya secara lebih menyeluruh dan bersistematik. Jika hal ini dapat direalisasikan, ekonomi penduduk akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Penangguhan Pesta Matu 2019 Ke-28, Majlis Perasmian Gawai Raya Daerah Matu, Majlis Pecah Tanah Projek Pusat Komersial Matu dan Majlis Perasmian Masjid Daerah Matu, di sini, semalam.

Abang Johari menegaskan, Kerajaan Sarawak terus mencari jalan untuk mempertingkatkan taraf hidup penduduk luar bandar Sarawak.

Usaha itu katanya, membuktikan komitmen jitu kerajaan dalam memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam pelbagai aspek.

Malah katanya, peruntukan disalurkan bagi pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan mampu memberi impak besar kepada rakyat.

“Untuk meningkatkan kemudahan air dan elektrik kita membelanjakan kira-kira RM5 bilion. Ini tidak termasuk usaha meningkatkan prasarana seperti jalan raya dan jambatan yang menjadi penghubung penduduk di kawasan pedalaman dan luar bandar

“Kita ada kreativiti untuk membangunkan negeri ini. Yang lebih penting jangan sekali-kali kita berpecah belah. Jika ini berlaku, apa-apa pun yang kita rancangan tidak akan menjadi kenyataan.

“Malah kita bukan sahaja kerugian tetapi juga ketinggalan dalam segenap aspek. Sarawak hanya dapat dibangunkan oleh orang kita sendiri. Masanya sudah tiba untuk kita mentadbir negeri kita dengan parti kita sendiri,” ujarnya.