
KUCHING: The Sarawak Initiatives (TSI) akan mengadakan satu forum kepimpinan bertajuk Belia Borneo: Agen Perubahan Malaysia Baharu yang menampilkan lima panel terdiri daripada tokoh politik muda pada Sabtu ini.
Forum berkenaan dibarisi Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii mewakili Parti Tindakan Demokratik (DAP), serta dua wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dan Ketua Pergerakan Pemuda PBB Sarawak yang juga Adun Serembu Miro Simuh.
Dua lagi ialah Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan) dan calon Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Tuaran Jo-Anna Sue Henley Rampas.
Forum berkenaan akan dikendalikan oleh Penganalisis Politik Profesor Dr James Chin daripada Pengajian Asia di Universiti Tasmania.
TSI dalam kenyataan memaklumkan, forum berimpak ini meliputi isu belia dan masa depan serta menyentuh setiap aspek kehidupan walau di mana berada selari perkembangan global, tanpa sempadan, berteknologi tinggi.
“Selain itu, akan menyentuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ekonomi, budaya, identiti dan perpaduan negara, pendidikan, falsafah politik dan pelbagai lagi,” katanya.
Pihak tersebut melalui forum ini, penting mempersiapkan belia dengan melatih mereka menjadi pemimpin yang baik.
“Ini kerana TSI percaya bahawa suara negeri-negeri Borneo agak lemah sejak 1963 sehingga kebelakangan ini, yang mana Semenanjung Malaysia sentiasa menjadi agen perubahan baik atau buruk.
“Namun, akhir-akhir ini kita melihat negeri-negeri Borneo mempunyai peluang untuk menjadi agen perubahan dalam menentukan kerajaan dan masa depan negara.
“Semangat MA63 dan pembentukan Malaysia mesti membawa maksud baharu, sesuai peranan dan negeri-negeri Borneo yang tidak boleh dipandang ringan.
“Itu termasuk peranan dalam membentuk identiti dan perpaduan nasional,” tambahnya.
Orang ramai boleh mengikuti forum ini melalui siaran langsung di laman Facebook rasmi TSI – thesarawakinitiatives pada 14 Januari bermula jam 9 pagi hingga jam 12 tengah hari.
Ini memandangkan forum secara bersemuka di Riverside Majestic Hotel, Astana Wing dihadkan kepada jemputan.
Sebarang pertanyaan mengenai forum kepimpinan TSI boleh menghubungi TSI melalui emel thesarawakinitiatives@gmail.com atau WhatsApp +6019-8767-928.