FT Banqku leburkan MyTeam

SKUAD serba kental, FT Banqku menumbangkan skuad pilihan, MyTeam 3-2 dalam aksi separuh akhir Kejohanan Bola Sepak MuFA Piala Dun Tellian yang mendebarkan di Padang Mesra MDDM Mukah petang semalam.

Beraksi dalam keadaan padang becak, MyTeam mendahului seawal minit kelima menerusi Melvin Jamil.

Namun, FT Banqku menyamakan kedudukan pada minit ke-33 menerusi Mohammad Dahari Jaman.

FT Banqku terus garang mengasak dan mendahului 2-1 dua minit selepas rehat, sekali lagi menerusi Mohammad Dahari Jaman.

Dan pada minit ke-51, FT Banqku melebarkan jurang, 3-1 melalui penyerang handalannya, Alexson Aiho.

Namun ia tidak mematahkan semangat MyTeam yang bertindak balas dan usaha mereka berhasil apabila pada minit ke-72, Mohamad Naim Narawi menjaringkan gol kedua untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Dua minit kemudian MyTeam mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila dianugerahkan sepakan penalti, namun malangnya, sepakan Md Rozman Bahari gagal disempurnakan.

Hampir 2,000 penonton memenuhi pekarangan Padang Mesra MDDM Mukah untuk menyaksikan perlawanan menarik itu.

FT Bangku akan menunggu pemenang antara Oya FC dan Jourdania untuk menempuhi perlawanan akhir Ahad ini di Stadium Mini Mukah.