ARTIKEL

Anwar Ibrahim (dua kiri) selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara SC dengan IsDB di Riyadh, Arab Saudi hari ini.

Fungsi dan peranan ISDB perlu diperluas untuk terus sokong ekonomi Islam – Anwar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

RIYADH, Arab Saudi: Fungsi dan peranan Bank Pembangunan Islam (IsDB) perlu diperluaskan lagi bagi menjadikannya sebuah institusi kewangan yang teguh, sekali gus dapat menyokong ekonomi Islam untuk terus berdaya saing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini selari dengan pendekatan Ekonomi MADANI dalam konteks daya saing, yang berhasrat untuk menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar di dunia dan menduduki Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia.

“Saya terus menggesa supaya ia (fungsi dan peranan IsDB) diperkembangkan dan pendekatannya diperluaskan supaya ia betul-betul (menyokong) kekuatan ekonomi dan kewangan (Islam) yang utuh, yang mampu bersaing dan mengatasi instrumen yang lain,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan IsDB, hari ini. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, IsDB wajar diberikan penghormatan, dan Malaysia merupakan antara negara pengasas yang telah mengemukakan usul bagi penubuhan Bank Pembangunan Islam dahulu. 

Selain itu, beliau berkata Malaysia turut mempunyai rancangan bersama IsDB untuk meningkatkan kerjasama dalam industri halal.

Mengulas mengenai MoU antara SC dan IsDB, Perdana Menteri berkata ia merupakan satu perkembangan positif dan antara usaha jangka masa panjang pengawal selia pasaran modal Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dari sudut pasaran modal dan juga instrumen kewangan yang baharu dan canggih.

“Dengan ini, kita tidak terikat dengan hanya apa yang berlaku, tetapi melalui kekuatan dalaman SC dan tentunya Perbendaharaan, Bank Negara dan agensi-agensi lain untuk merangka beberapa instrumen baharu untuk tingkatkan keupayaan pasaran modal Islam.

“Ini akan kita cerakin secara lebih terperinci semasa kita adakan persidangan akhir Mei ini (Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam) dan tentunya pada ketika itu, SC boleh persiapkan rangka-rangka awal untuk memperkenalkan pandangan itu kepada dunia Islam, kewangan dan ekonomi Islam,” katanya.

MoU yang ditandatangani SC dengan IsDB membuka ruang kerjasama lebih erat dalam pasaran modal Islam dan meluaskan jangkauan teknologi kewangan dan kewangan sosial Islam, terutamanya wakaf. 

Terdahulu, Anwar dan Presiden merangkap Pengerusi IsDB, Dr Muhammad Al Jasser, menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut, yang pertama seumpamanya antara pengawal selia pasaran modal Malaysia dengan Bank Pembangunan Islam.
 
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin serta Naib Presiden, Kewangan dan Ketua Pegawai Kewangan IsDB, Dr Zamir Iqbal, menandatangani MoU tersebut di luar Mesyuarat Agung Tahunan IsDB 2024 di Riyadh. — BERNAMA

BERITA LAIN

Projek pembangunan giat dijalankan di sekitar Debak

SARIBAS: Beberapa pembangunan di kawasan sekitar Daerah Kecil Debak telah dipergiat bagi memastikan kawasan tersebut terus menikmati kemajuan. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti

BERITA TERBARU

Penyulut SPM meri pengaga ngagai semua

KUCHING: Bulih pemutus peresa nyulut ba Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ukai penyulut siku orang aja tang nya penyulut semua raban. Nembiak Sekula Sekondari (SMK)