TIADA pemain bertaraf bintang bukan alasan, malah ia tidak pernah melunturkan semangat wakil Bahagian Sibu ke Kejohanan Futsal Piala Sarawak 2019 (SFC19), pasukan Sibu District Football Club (SDFC).
Sebaliknya SDFC menganggap ia sebagai kekuatan yang harus dibawa untuk memberikan saingan sekali gus menempatkan diri di kedudukan terbaik. Demikian tegas ketua jurulatihnya Halel Mohd Ibrahim.
Katanya, penyertaan SDFC ke SFC19 yang akan berlangsung di Riveria Sport Centre (RSC) Debak bermula esok sehingga 4 Ogos depan merupakan penghormatan terhadap jemputan penganjur.
“Insya-Allah kita cuba memberikan yang terbaik dan sudah pasti sasaran utama sememangnya untuk bergelar juara.
“Paling tidak pun, SDFC mampu melepasi pusingan kumpulan,” katanya kepada Suara Sarawak selepas majlis doa selamat dan pelancaran jersi pasukan SDFC di Sibu, semalam.
“Saya akui dari segi taktikal mungkin kita sedikit kurang, namun kalau aspek kemantapan dan kecergasan pemain amat kita berikan keutamaan. Insya-Allah kita tidak kalah dalam aspek ini.
“Kerana gelanggang di RSC Debak yang digunakan bersaiz Fifa dan permainan menggunakan ‘stop time’.
“Secara dasarnya, saya amat percaya terhadap pemain yang kita ada untuk memberikan saingan kepada pasukan lawan,” ujarnya.
Tambahnya, kebanyakan pemain SDFC tahun ini merupakan pemain yang pernah bergelar naib juara Piala Sarawak Bawah 21 Tahun pada 2017 lalu di Betong yang tewas kepada Kuching untuk kedua-dua kategori.
Mengenai persiapan, Halel memaklumkan seperti biasa sahaja kerana SDFC sentiasa aktif sepanjang tahun menyertai ban- yak kejohanan futsal di seluruh Sarawak.
Pada SFC19, SDFC akan menghantar satu pasukan lelaki yang diundi dalam Kumpulan F bersama Rimbas Utd Betong, Kapit B dan Sibu B. Jurulatih pasukan lelaki diketuai Alexander Abas sambil dibantu Hagler Stanley.
Sementara pasukan wanitanya dalam Kumpulan B bersama Serian, Kapit dan Standby Ft Limbang.
Ketua jurulatih pasukan wanita ialah Halel sendiri serta dibantu Nor Hanifah Mohiden.
SDFC yang merupakan sebuah kelab bola sepak dan futsal yang aktif di Bahagian Sibu akan berangkat ke Debak pada 31 Julai.
Hadir sama pengurus SDFC Zamri Kiprawi Bujang.