SIMUNJAN: Kejohanan Futsal Terbuka Pesta Simunjan 2023 menyaksikan Pasukan Den Contructions (kategori lelaki terbuka) dan AMK Infinity (kategori wanita) bergelar juara pada aksi final yang berlangsung di Arena Sri Nancy, malam tadi.
Pasukan Den Contructions, jagoan terbilang dari bandar Kuching itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum menyingkirkan pesaing mereka AS FT dengan kemenangan (4-3) menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat (1-1) untuk masa penuh perlawanan.
Manakala tempat ketiga milik pasukan Nazhet B selepas mencatat kemenangan mudah (4-0) ke atas Boiler FC ditempat keempat.
Dalam pada itu, gelaran juara kategori wanita pula milik pasukan AMK Infinity yang mudah menumpaskan Tibak Baok ditempat kedua dengan jaringan (2-0).
Pasukan Eight United dan Tibak Baok A yang tewas diperingkat separuh akhir menduduki tempat ketiga bersama.
Bagi kategori veteran lelaki, juara milik Tabuan Vet yang menyingkirkan Vet Den (3-2) menerusi sepakan penalti selepas kedua-duanya terikat (1-1).
Pasukan V-Foss UFT dan Vet Ged FT yang tewas diperingkat separuh akhir menduduki tempat ketiga bersama.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 25 Simunjan, Awla Dris.
Kejohanan terbabit dianjur Saberkas Cawangan Simunjan dengan kerjasama Kelab Sukan Dan Rekreasi Emmanuel Samarahan dan merupakan antara pengisian aktiviti sempena Pesta Simunjan 2023.