Trending

Gabenor BNM: Dasar monetari adalah langkah berjaga-jaga, bukan terburu-buru

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus semalam menulis surat kepada pengarang bertajuk “Monetary Policy is Pre-emptive, Not Premature” (Dasar Monetari adalah Langkah Berjaga-Jaga, Bukan Terburu-buru).

Nor Shamsiah menerusi surat itu berkata, keputusan dasar monetari mempengaruhi banyak aspek ekonomi negara, justeru, selalunya keputusan sedemikian akan diperhati dan dibahaskan dengan teliti bukan sahaja oleh pasaran kewangan, tetapi juga oleh orang awam.

Perbualan hangat mengenai keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas pada 3 Mei lepas membuktikan andaian ini.

Menurutnya, memutuskan tentang OPR bukanlah sesuatu yang diambil mudah oleh bank pusat.

Terdapat banyak faktor yang dipertimbangkan oleh MPC.

Analisis kami adalah berdasarkan kepada rangkaian meluas data dan perbincangan mendalam dengan pelbagai industri dan pengguna.

Selain Penyata Dasar Monetari itu sendiri, BNM juga telah membuat penjelasan lain (sebagai contoh: ringkasan Penyata Dasar Monetari kami, Soalan Lazim) di laman web dan media sosial bank pusat.

Menerusi surat tersebut, beliau berharap dapat menyediakan konteks yang lebih jelas mengenai langkah MPC serta menjelaskan beberapa perkara yang telah dibincangkan dalam perbincangan awam.

KENAIKAN OPR AKAN MENJEJASKAN PERTUMBUHAN EKONOMI

Nor Shamsiah berkata, mandat BNM adalah untuk mengekalkan kestabilan harga yang kondusif kepada pertumbuhan mampan ekonomi Malaysia.

Dengan berbuat demikian, Bank Pusat melaksanakan dasar monetari yang memenuhi kepentingan negara dengan sasaran mencapai objektif tersebut yang bermakna bukan hanya mempertimbangkan impak segera kepada tindakan kami, tetapi juga mengambil pandangan jangka panjang tentang langkah-langkah dasar kami, termasuk keputusan OPR, katanya.

Menurutnya, semua bank pusat mengambil langkah-langkah berdasarkan objektif yang sama.

Keputusan mengenai OPR yang diambil sebelum ini dan pada masa ini adalah berdasarkan prinsip tersebut.

Pada setiap mesyuarat, MPC menimbangkan dasar dengan sangat berhati-hati – mengimbangi antara risiko kepada pertumbuhan ekonomi dan juga inflasi.

Beliau berkata, semasa mesyuarat berlangsung, mereka akan meneliti dan membincangkan pelbagai indikator (penunjuk) dan model makroekonomi untuk menilai keadaan ekonomi dan inflasi.

“Kami juga menyemak maklum balas dan pemerhatian yang dikongsi dengan kami daripada isi rumah, perniagaan dan pemain pasaran, bagi memahami dengan lebih baik lagi tentang perkembangan dan keadaan ekonomi di lapangan, merentas semua segmen ekonomi di negara ini,” katanya. 

Menurutnya, adalah penting bagi MPC untuk mengambil pendekatan berhemat dan berpandangan kehadapan.

BNM merupakan satu daripada bank pusat pertama di rantau ini yang telah mula menormalkan kadar faedah tahun lepas, dan hasilnya dapat dilihat menerusi kadar inflasi kita yang lebih rendah daripada purata serantau.

“Kami juga mahu ekonomi terus berkembang kukuh, dan bukannya sengaja mengatur pertumbuhan lembap atau malah kemelesetan untuk menurunkan inflasi.

“Dalam usaha menormalkan OPR, kami memastikan untuk melakukannya dengan cara yang berkesan kepada ekonomi kita.

Justeru, kenaikan OPR kita adalah secara berhemat dan beransur-ansur.

Malahan, ia lebih kecil dan perlahan daripada pelarasan kadar yang dibuat di seluruh rantau pada tahun lalu.

“Kami malahan menghentikan kenaikan dua kali pada tahun lepas untuk menilai kesan kumulatif kenaikan OPR,” katanya.

Ini kerana, katanya, tindakan dasar monetari mengambil masa untuk memberi kesan kepada ekonomi, dan perlu dipantau dengan rapat untuk melihat sekiranya terdapat petanda ia akan mengetatkan lagi keadaan monetari.

Menurutnya, gambaran yang diperoleh semasa mesyuarat MPC pada 3 Mei lepas dan mesyuarat lain baru-baru ini adalah: Ekonomi kita terus menunjukkan kekuatan.

Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 5.6 peratus bagi Suku Pertama 2023 adalah lebih kukuh daripada tempoh sebelum pandemik manakala pengambilan pekerjaan juga meningkat.

“Kami melihat pelbagai indikator yang menonjolkan kekuatan berterusan permintaan domestik: perbelanjaan runcit, jualan kereta penumpang, ketibaan pelancong dan banyak lagi.

Pada masa depan kami menjangkakan prospek pertumbuhan akan kekal berdaya tahan berdasarkan banyak penunjuk yang progresif  antaranya termasuklah pertumbuhan pinjaman, perniagaan merentas semua sektor, pesanan eksport dan prospek perniagaan,” katanya.

MPC melihat indikator yang meluas untuk memberi pandangan tentang prospek pertumbuhan dan inflasi selain mempertimbangkan semua maklumat yang berkaitan, baik global mahupun domestik secara holistik. 

Ini penting bagi MPC untuk membuat pertimbangan berdasarkan maklumat mengenai keadaan ekonomi. 

TIADA ALASAN NAIKKAN KADAR SELEPAS DIHENTIKAN SEKETIKA DITAMBAH DENGAN INFLASI MENYEDERHANA

Nor Shamsiah berkata, mengenai inflasi, gambarannya lebih berbeza. Seperti yang diperhatikan oleh sesetengah pihak, tekanan kos telah berkurangan. Inflasi keseluruhan lebih rendah, berada pada purata 3.6 peratus pada suku pertama berbanding 3.9 peratus untuk suku sebelumnya.

Sebahagian besar aliran menurun ini didorong oleh harga RON97 yang lebih rendah, yang menyumbang kira-kira dua pertiga daripada penurunan pada suku pertama.

Bagaimanapun, katanya, meskipun berlaku beberapa penyederhanaan, harga dijangka terus tinggi berbanding apa yang telah biasa dialami rakyat. Ini kerana permintaan terus kekal kukuh, didorong oleh pemulihan ekonomi.

Inflasi teras, yang merupakan proksi inflasi didorong permintaan terus kekal tinggi, dengan purata 3.9 peratus pada suku pertama berbanding purata jangka panjang pada 2.1 peratus.

Ringkasnya, dari perspektif makroekonomi, keadaan ekonomi bahkan telah melepasi tahap sebelum pandemik.

Oleh itu, adalah wajar agar dasar makroekonomi diubah suai semula untuk mencerminkan perkara ini dan secara umumnya, kembali ke tahap sebelum pandemik.

Sehubungan itu, MPC memutuskan bahawa ia adalah masa yang sesuai untuk menormalkan OPR.

”Walaupun ada yang mendakwa bahawa penormalan dasar kami adalah “pramatang”, kami menyasar untuk mengambil langkah berjaga-jaga kerana ia kurang menjejaskan ekonomi daripada menunggu sehingga sudah terlambat untuk bertindak.

“Negara akan terpaksa menaikkan OPR lebih tinggi dan lebih pantas untuk menurunkan inflasi sekiranya ia semakin meningkat – seperti yang kita boleh lihat berlaku di negara lain,” katanya.

Terdapat juga bahaya mengekalkan persekitaran kadar faedah ‘terlalu rendah bagi tempoh yang lama’, dengan kesan yang menjejaskan ekonomi. Impak kemusnahan daripada krisis kewangan global yang berlaku dalam dua dekad kebelakangan ini, yang berpunca daripada pasaran perumahan AS, merupakan satu peringatan yang perlu diambil dengan serius.

Menurutnya, sebelum keputusan pada bulan Mei itu, kenaikan seterusnya OPR rata-ratanya telah dijangkakan oleh pemerhati pasaran kewangan selaras dengan pendirian penormalan secara beransur-ansur oleh bank pusat, walaupun terdapat pandangan berbeza mengenai masa yang tepat bagi kenaikan itu.

“Ramai yang menjangkakan kami akan menaikkannya pada separuh kedua tahun ini, namun ada yang menyatakan bahawa ia adalah tepat pada masanya berbuat demikian pada bulan Mei untuk mengelakkan inflasi daripada berakar umbi memandangkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan.

“Kita masih belum pulih sepenuhnya dan kita perlu sentiasa berjaga-jaga,” katanya. 

KENAIKAN OPR MEMBEBANKAN PEMINJAM 

Menurutnya, BNM menyedari bahawa ada sesetengah orang yang mungkin lebih teruk terjejas daripada yang lain disebabkan oleh kenaikan OPR.

OPR ialah instrumen untuk menyediakan kestabilan harga.

Di dalam ekonomi ia tidak membezakan antara mereka yang mempunyai pinjaman dan mereka yang tidak mempunyai pinjaman.

Justeru, katanya, mana-mana peminjam – tidak kira golongan B40, atau M40, atau mana-mana individu atau perniagaan – yang mungkin menghadapi kesukaran untuk membayar pinjaman boleh menghubungi bank mereka masing-masing atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mencari cara pembayaran balik alternatif yang sesuai untuk mereka.

Bagaimanapun, katanya, lebih 50 peratus pinjaman daripada golongan B40 dan kumpulan yang terkesan adalah dalam instrumen kadar tetap.

Jadi bayaran balik bulanan mereka daripada pinjaman kadar tetap ini tidak akan terjejas oleh kenaikan OPR.

Namun begitu, katanya, jika kita tidak menangani tekanan harga yang berlebihan seperti yang kita lihat dalam beberapa ekonomi lain, ia akan menjejaskan semua orang.

“B40 dan kumpulan yang terkesan akan menjadi golongan paling terjejas jika kita tidak berjaya mengawal inflasi dan kita juga tidak akan dapat mengekalkan pertumbuhan yang mampan dalam jangka masa panjang.

Kita tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku,” katanya.

OPR TIDAK MEMBANTU RINGGIT

Menurutnya, nilai ringgit berbanding mata wang lain ditentukan oleh pasaran.

Ia mencerminkan perkembangan berterusan di dalam dan luar negara.

Pada masa ini, pergerakan dolar AS terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi mata wang lain, termasuk ringgit.

Khususnya, permintaan lebih tinggi terhadap dolar AS sebahagiannya disebabkan oleh ketidakpastian terhadap had siling hutang kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan data ekonomi China yang mengecewakan pada bulan April.  

Sentimen terhadap ringgit turut terjejas oleh pandangan mengenai kepentingan hubungan perdagangan antara Malaysia dan China

Selain itu, katanya, kenaikan OPR Malaysia dilakukan pada kadar yang lebih beransur-ansur berbanding negara utama serantau lain, yang sekali gus menjadikannya kenaikan paling rendah di rantau ini.

“Di bawah rejim kadar pertukaran yang fleksibel, adalah munasabah untuk menjangkakan ringgit akan turun naik dari masa ke semasa. Pelarasan ini perlu untuk membolehkan ekonomi domestik menyesuaikan diri dengan kejutan ekonomi dan kewangan global,” katanya.

Pada 2022, pada satu ketika ringgit bergerak turun naik sehingga 11.5 peratus antara akhir Mac hingga awal November, sebelum meningkat menjelang akhir tahun.

Namun, ekonomi sebenar berkembang sebanyak 8.7 peratus pada tahun itu. Ini adalah bagaimana kadar pertukaran dan pasaran kewangan yang lebih kukuh menampan kita daripada kejutan luaran yang buruk.

Nor Shamsiah berkata, Malaysia kekal sebagai ekonomi terbuka dan peranan BNM adalah untuk memastikan bahawa dalam jangka pendek, volatiliti berlebihan ringgit dapat dibendung.

Keutamaan dasar kini adalah untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran harga yang stabil dan mengukuhkan lagi asas ekonomi domestik melalui pembaharuan struktur.

BNM terus kekal komited menggesa dan menyokong pembaharuan struktur dan langkah ini akan menyediakan sokongan padu terhadap ringgit berbanding langkah-langkah jangka pendek atau keputusan dasar monetari. – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru