ARTIKEL

Gabenor Pertama Sarawak Tun Openg terus dikenang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ALLAHYARHAM Tun Datuk Abang Openg Abang Sapiee merupakan tokoh dan pemimpin yang disegani setiap lapisan masyarakat di Sarawak.

Lahir pada 7 Oktober 1905 di Kuching, Tun Openg dikurniakan 10 anak termasuk Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hasil perkahwinannya dengan Toh Puan Dayang Masniah Abang Abdul Rahman.

Namanya sering menjadi sebutan sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan muhibah serta perpaduan dengan setiap kaum selain pelbagai sumbangannya demi masa depan Sarawak.

Ketokohan dan kewibawaannya membolehkannya menjadi Gabenor pertama Sarawak menggantikan Gabenor terakhir British, Sir Alexander Waddell.

Menjelang pembentukan Malaysia pada 1963, beberapa wakil dari Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Tanah Melayu berangkat ke London untuk menandatangani Perjanjian Malaysia.

Tun Openg menjadi salah seorang wakil Kerajaan Sarawak ketika itu untuk menandatangani perjanjian tersebut.

Daripada perjanjian itulah membawa kepada detik bersejarah Pembentukan Malaysia.

Pada 16 September 1963, Tun Openg diisytiharkan sebagai Gabenor pertama Sarawak di Padang Sentral (kini Padang Merdeka) disaksikan kira-kira 70,000 rakyat Sarawak pelbagai kaum.

Pelantikan beliau menamatkan era pemerintahan British dan bermulanya era pemerintahan sendiri Sarawak melalui pembentukan Malaysia.

PERJALANAN TUN OPENG

Beliau pernah berkhidmat sebagai kerani kerajaan pada 1924, Ahli Council Negeri pada 1940, Presiden Majlis Islam Sarawak yang pertama pada 1955 dan menjawat pelbagai lagi jawatan lain sebelum akhirnya menjadi Gabenor.

Baca lain  Kek Lapis Resipi Nenek warisan turun-temurun

Tun Openg disifatkan sebagai individu yang tidak mementingkan diri sendiri, mengambil berat dan berjiwa rakyat.

Malah, Tun Openg ialah pemimpin yang amat dekat dengan rakyat.

Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) yang juga anak Tun Openg, Datuk Seri Abang Abdul Karim menceritakan, bapanya amat mementingkan pendidikan.

“Beliau seorang yang mengutamakan pendidikan. Beliau selalu memberitahu kami; bapa bukan orang kaya, tidak mempunyai kayu balak dan sebagainya.

Ia memang benar, beliau tidak mempunyai apa-apa.

“Beliau hanyalah penjawat awam.

Sebab itu, saya tidak dapat ke luar negara.

Kami tidak mempunyai wang. Keluarga kami besar dan bergantung sepenuhnya gaji beliau,” ujarnya.

Bagi Abang Abdul Karim, nasihat tersebut amat bermakna kepada dirinya, yang mendorongnya untuk berusaha bersungguh-sungguh sehingga memperoleh pencapaian hari ini.

“Bapa beritahu kami termasuk Premier, pendidikan sangat penting.

Nasihat itu bagi saya amat bermakna,” katanya.

Sementara itu, wartawan Radio Sarawak era 1960- an, Datuk Ahmad Shafi ee mengimbau kenangan ketika membuat liputan menyifatkan Tun Openg tidak mementingkan diri sendiri dan mengambil berat terhadap orang lain di sekelilingnya.

“Tun Openg sangat mengambil berat.

Makanan sudah disediakan untuk beliau dan untuk kami yang datang dari Kuching.

“Tapi beliau masih belum makan dan menunggu kami (wartawan) tiba untuk makan bersama-sama,” imbas beliau.

Baca lain  Tasik besar dunia susut air

Ceritanya, ada ketika sampai di sebuah kampung, Tun Openg menyuruh dirinya dan yang lain untuk naik dahulu ke jambatan dan beliau (Tun Openg) akan naik kemudian.

Bagi Ahmad Shafi ee, meskipun perkara ini boleh dikatakan kecil, namun tidak baginya kerana ia memaparkan karakter individu yang tidak mementingkan diri sendiri.

“Ketika hayatnya, banyak sumbangan dilakukan dari segi pembangunan, sosial, pendidikan dan keagamaan.

“Beliau amat prihatin dengan pembangunan luar bandar, pembinaan sekolah dan hospital selain memastikan peluang pekerjaan kepada anak tempatan dalam pentadbiran awam tidak terjejas,” jelasnya.

Beliau juga sering turun padang ke kawasan pedalaman dan luar bandar Sarawak bagi mengenali dan mengetahui keadaan serta permasalahan rakyat.

Tambahnya, Tun Openg sering menjadi imam di masjid, bahkan mengingati nama jemaah yang hadir.

Sememangnya, Tun Openg tidak pernah melupakan rakyat dan rakan-rakannya walaupun menjadi pemimpin nombor satu negeri ini (ketika itu).

PEMIMPIN EMPAT ZAMAN

Mengimbas kembali kenangan ketika bertemu Tun Openg, sejarawan Datuk Dr Sanib Said berkata, Tun Openg pernah melawat ke sekolahnya di Lawas ketika beliau masih di tingkatan tiga.

“Pada ketika itu, pada 1968 keadaan di Sarawak sangat mundur tetapi Tun Openg berkesempatan melawat daerah di Sarawak sampailah daerah yang terakhir sekali di Lawas.

Baca lain  Majlis Graduasi GiatMara Peringkat Negeri Sarawak 2023

“Ketika itu saya di tingkatan tiga. Kami menyambut kedatangan beliau ke Lawas,” katanya.

Pada masa itu, Tun Openg menyempurnakan beberapa acara perasmian jambatan dan berjumpa dengan rakyat.

“Bagi saya, beliau merupakan pemimpin dan Gabenor berjiwa rakyat,” ceritanya sambil membelek sebuah buku yang merakamkan gambar peristiwa itu.

Menariknya, tokoh Melayu daripada golongan perabangan ini fasih bertutur dalam bahasa Iban.

Beliau juga yang mengemukakan cadangan agar Gawai Dayak diiktiraf sebagai cuti umum bagi masyarakat Dayak di negeri ini.

Boleh dikatakan, Tun Openg ialah pemimpin empat zaman kerana sempat melalui empat zaman sepanjang hidupnya merangkumi pemerintahan Charles Vyner Brooke, pendudukan Jepun, Kerajaan British dan Malaysia.

Pada 28 Mac 1969, seluruh Sarawak dikejutkan dengan berita pemergian Gabenor pertama Sarawak itu setelah bertahun-tahun berjuang melawan barah.

Pada hari pemergiannya, suasana sayu dan pilu mengiringi Astana seakan-akan meratapi kehilangan permata Sarawak itu.

Allahyarham Tun Openg menghembuskan nafas terakhirnya ketika berusia 64 tahun.

Setelah pemergian Allahyarham, banyak bangunan mahupun jalan raya diabadikan sempena nama beliau.

Misalnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Datuk Abang Haji Openg, Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Abang Haji Openg di Kuala Lumpur dan sebagainya.

Oleh itu, jasa insan bernama Tun Openg kepada Sarawak wajar dikenang oleh setiap generasi kini dan selamanya.

BERITA LAIN

Lokasi wajib dikunjungi di Miri

MIRI terkenal dan menjadi tumpuan sebagai bandar raya kaya dengan hasil bumi seperti petroleum serta gas asli di Sarawak. Miri juga mempunyai banyak lokasi menarik

Lebih santai, pelanggan selesa

Pada awalnya bermula secara sambilan, kemudian dilihat memiliki potensi setelah isi kandungan tersebut mendapat perhatian pelanggan. “Alhamdulillah, setiap bulan ada pihak yang mendapatkan khidmat mencipta

TWFTY studio gambar kendiri

BERMULA sekadar hobi, aktiviti merakam video kandungan media sosial kini menjadi kerjaya menjana pendapatan. Pengarah TWFTV Studio, Muhammad Nur Faiq Mohamad berkata, dia tidak menyangka

Sedia panduan tepat untuk remaja

DALAM usaha untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai kesihatan reproduktif dan pendidikan seksualiti dalam kalangan kanak-kanak, Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Desa Ilmu baru-baru ini bekerjasama

BERITA TERBARU