Gadai nyawa demi ibu

MATU: Walaupun OKU dan bisu, seorang anak sanggup bergadai nyawa demi ibunya dan akhirnya rentung bersama-sama si ibu dalam satu tragedi kebakaran di Kampung Sekaan Kecil di sini, awal pagi semalam.

Mangsa Remlah Mesie, 54 tahun berjaya menyelamatkan diri dan keluar dari rumah tetapi membuat keputusan kembali meredah api marak setelah menyedari ibunya Sedeh Sahar 84, masih terperangkap di dalam rumah. Akhirnya kedua-dua gagal menyelamatkan diri dan ditemui rentung.

Remlah

Manakala seorang lagi mangsa Abdul Razak Mesie, 40, terselamat apabila sempat keluar dengan terjun keluar dari rumah. Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daro Mustapa Wasli berkata, insiden sekitar jam 2 pagi itu berlaku ketika kesemua mangsa sedang nyenyak tidur.

“Mayat kedua-duanya dijumpai tidak jauh di antara satu sama lain di ruang tamu rumah..”

“Bomba bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.09 pagi. Bagaimanapun, sebaik sahaja kita tiba di lokasi, rumah sudah musnah sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, ketika kejadian semua mangsa terjaga selepas terdengar bunyi bising dan merasai bahang panas. Bagaimanapun katanya, api merebak pantas menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda.

Sedeh

“Kita difahamkan, anak mangsa seorang OKU sempat keluar dari rumah itu. Namun, dia kembali semula ke dalam rumah berkenaan untuk menyelamatkan ibunya menyebabkan kedua-dua terperangkap sebelum maut. “Mayat kedua-duanya dijumpai tidak jauh di antara satu sama lain di ruang tamu rumah itu pada 4.20 pagi.

“Adik mangsa terselamat mengadu mengalami sesak nafas kemudian dihantar ke Hospital Daro untuk rawatan lanjut,” katanya,” katanya.

Bomba jelasnya, juga melakukan pemantauan dan pemadaman susulan bagi mengelak kebakaran berulang sebelum bertolak balik ke balai. Katanya, bomba sedang melakukan siasatan rapi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan. Sebuah rumah berhampiran turut musnah namun tiga penghuninya berusia 15 tahun hingga 60 tahun terselamat.

Suara Sarawak