LUNDU: Pasukan Gading A yang dibarisi beberapa pemain kebangsaan menepati ramalan apabila merangkul kejuaraan Kejohanan Bola Tampar Terbuka Lelaki 2025 yang melabuhkan tirainya pada Ahad.
Aksi final yang berlangsung sengit di gelanggang bola tampar SK Sampadi itu menyaksikan pasukan pilihan berkenaan ditentang hebat wakil dari Debak, Infinity A sebelum mencatatkan kemenangan 21-14 dan 21-19.
Kemenangan tersebut membolehkan Gading A membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 beserta pingat.

Sementara itu, Infinity A yang turut mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan sekadar berpuas hati selaku naib juara bagi meraih wang tunai RM700 dan pingat.
Dalam pada itu, pasukan The Cops mengesahkan kedudukan di tempat ketiga selepas berjaya menumpaskan pasukan CVS dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Kejayaan tersebut menyaksikan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM500 beserta pingat.

Kejohanan edisi sulung anjuran Kelab Bola Tampar Sampadi-Kangkar itu menarik penyertaan sebanyak 22 pasukan yang terdiri daripada peminat sukan berkenaan dari kawasan Lundu sehingga ke Saribas.
Pengerusi Penganjur, Mohamad Faizul melahirkan rasa syukur atas kejayaan penganjuran tersebut yang mendapat sambutan luar biasa meskipun merupakan julung kali diadakan.
“Kejohanan kali ini menyaksikan kita mendapat sokongan hebat daripada pasukan peminat bola tampar sekitar Kuching, malah apa yang menarik, ada pasukan dari jauh seperti Debak dan Pusa turut hadir memeriahkan suasana.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kerjasama baik sepanjang kejohanan berlangsung.
Selaku wakil penganjur, kami menyusun sepuluh jari sekiranya terdapat kekurangan sepanjang penganjuran pertandingan ini,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas sokongan semua pihak dalam menjayakan kejohanan selama dua hari itu yang secara tidak langsung memberi peluang kepada usahawan kecil mempromosikan produk mereka.
Katanya, penganjuran sukan sedemikian juga mampu merancakkan lagi aktiviti pelancongan di kawasan Sampadi.





