Gadis peraga pakaian tradisional Iban dan Bidayuh sambil hidang ‘sushi’ di pusat beli belah Viva

KUCHING: Dalam kesibukan warga kota mengunjungi pusat beli belah Viva di ibu negeri, jelas kedengaran bunyi syiling dari aksesori baju tradisonal etnik wanita Iban, ‘Ngepan Iban” memecah suasana bingit, menarik tumpuan ramai yang berkunjung ke sana sepanjang Hari Gawai ini.

Walaupun tidak dapat pulang kampung meraikan Hari Gawai di kampung halaman tahun ini, kakitangan Sushi Jiro Cawangan Kuching tampil membuat kelainan mengenakan busana tradisional etnik Iban dan Bidayuh sepanjang menjalankan operasi.

Mengambil pendekatan tersendiri dan satu-satunya restoran bertindak demikian, penampilan serta kehadiran bunyi aksesori dari baju tradisional mereka jelas membangkitkan dan menceriakan lagi suasana restoran sushi tersebut.

Pengurusnya Angela Caesarina Samana, 31 menjelaskan memandangkan majoriti kesemua kakitangan restoren ialah dari etnik Iban dan Bidayuh, dan tidak dapat pulang bergawai, mereka sepakat untuk tampil dengan inisiatif tersebut bagi mengubat kerinduan semangat Hari Gawai pada kali ini.

“Saya bersama Penolong Pengurus, Anna Rosiana, 23 hari ini mengenakan pakaian tradisional dari etnik Iban dan Bidayuh , ini merupakan cadangan kami berdua sebab ramai kami yang tidak dapat pulang bergawai dan bekerja untuk tempoh ini.

“Usaha kita ini jelas dapat membangkitkan semangat bekerja dalam diri kakitangan kami dan secara tidak langsung kami dapat memperkenalkan keunikan etnik di Sarawak melalui pakaian tradisional ini,” katanya ketika ditemui wartawan Suara Sarawak dan News Sarawak Tribune Isnin lalu.

Malah katanya respon daripada semua pelanggan yang hadir ke restoren tersebut amat menerima baik dan memberi komen positif dengan penampilan mereka berdua.

“Pelanggan yang hadir juga sempat merakam swafoto bersama kami berdua sebagai kenanhan dan melalui ini kami dapat dedahkan kepada penduduk di bandar untuk mereka melihat sendiri budaya yang ada di Sarawak melalui pakaian ini.

“Inisiatif ini juga kita rancang untuk teruskan untuk tahun-tahun akan datang, bukan sahaja Gawai tapi termasuk juga perayaan lain, kerana ramai yang tidak dapat pulang ke kampung dan atas sebab Covid-19 ini,” katanya yang juga tahun pertama pihaknya memperkenalkan inisiatif berkenaan.

Selain itu, katanya sepanjang Hari Raya pada Mei yang lalu, pihaknya juga mengenakan pakaian Baju Melayu dan Baju Kurung sepanjang menjalankan operasi.

“Pada Hari Raya yang lalu juga kami turut mengenakan pakaian sempena Hari Raya, dan ini juga satu cara kami bagi meraikan Hari Raya serta membangkitkan semangat Raya kepada pelanggan yang tidak dapat balik ke kampung halaman,” katanya yang juga menjelaskan Sushi Jiro ialah satu jenama produk francias makanan dari Malaysia.

Dalam kesempatan tersebut Angela mengucapkan Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai kepada semua terutama kepada semua rakyat Sarawak dan Selamat Hari Kaamatan kepada rakan di Sabah, selamat menikmati hari cuti bersama keluarga ujarnya. -ALWIN LAWRENCE & NUR ASHIKIN LOUIS