Semua sekolah di Sarawak akan dinaik taraf mengikut standard tertentu

Gaduh pun tidak guna

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

BEBERAPA hari lepas, tepatnya sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat dan mengumumkan tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Umum kali ke-15, banyak ahli jawatankuasa parti politik menerima mesej awal melalui kumpulan WhatsApp.

“Dalam, kita meeting dua tiga hari tok. Berik masa bila kitak orang semua ada masa sesuai.”

Ini antara mesej daripada pemimpin jawatankuasa parti politik peringkat ranting yang dikongsikan kepada saya.

Mesej ini dikeluarkan selepas tiga jam SPR mengumumkan tarikh untuk proses penamaan calon pada 5 November, tarikh undi awal 15 November dan tarikh membuang undi 19 November.

Begitu cepat tindakan diambil, dan pantas pula respons daripada ahli jawatankuasa yang lain. “Siang atau malam?”

Tanya seorang ahli jawatankuasa. “Sabtu malam ok sik?”

Soal ketua ranting parti itu. Masing-masing kemudian bersetuju mesyuarat awal diadakan pada hujung minggu, sesuai dengan ramai yang cuti pada hujung minggu.

Ini menariknya diadakan pilihan raya sama di peringkat negara ataupun negeri, termasuk di peringkat pilihan raya kecil sekalipun.

Akan ada banyak mesyuarat dan perjumpaan sesama ahli jawatankuasa — tidak kira siang atau malam, ada sampai ke pagi.

Lebih-lebih lagi sebaik proses penamaan calon selesai sekitar tengah hari. Yang pasti, nada dering mesej kumpulan WhatsApp tidak akan berhenti berdering.

Ada-ada sahaja informasi ataupun arahan terkini yang disampaikan untuk perkongsian, makluman ataupun tindakan segera.

Mesyuarat pertama

Mesyuarat pertama biasanya diadakan sebelum hari penamaan calon.

Mesyuarat akan menentukan lokasi untuk dijadikan bilik gerakan. Ada yang menggunakan balai raya, dewan serba guna dan tidak kurang pula menggunakan rumah sendiri — biasanya rumah ketua parti ranting. Akan dibincang juga segala agihan tugas, merangkumi banyak aspek bermula mesyuarat pertama hingga ke hari pembuangan undi — biasanya selepas pengumuman pemenang pada sebelah malamnya.

Siapa yang mengurus bilik gerakan? Siapa yang akan mengendalikan jamuan?

Siapa yang akan berkempen meraih undi? Siapa pula yang akan menggantung bendera parti, poster calon, gegantung serta kain rentang — semuanya memerlukan permit daripada pihak berkuasa tempatan setempat.

Mesyuarat ini bukan boleh dibuat main-main kerana ia akan menentukan sama ada seseorang calon itu berjaya atau tidak meraih banyak undi penduduk di sesuatu kawasan.

Jika tiada kesungguhan di sini, biasanya peratusan penduduk sesuatu kampung keluar mengundi akan rendah.

Atas sebab itu, banyak parti politik lebih suka kempen kaedah konvensional — dari rumah ke rumah.

Semua ini bagi memastikan setiap orang yang sudah mendaftar sebagai pengundi turun menunaikan tanggungjawab mengundi.

Paling utama untuk meningkatkan jumlah peratusan undi di sesuatu kawasan pilihan raya.

Mengarak pengantin

Biasa didengar, mengiringi calon ke pusat penamaan calon ibarat mengiringi pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan.

Setiap calon akan membawa ramai penyokong ke pusat penamaan calon.

Yang kurang penyokong biasanya calon Bebas, ataupun calon bidan terjun.

Seorang veteran politik ada menjelaskan kepada saya ketika membuat liputan media proses penamaan calon:

“Penyokong yang ramai adalah gambaran bahawa calon itu menerima banyak sokongan. Ini pandangan daripada orang tua-tua dahulu.”

Sebenarnya seronok mengiringi calon ke pusat penamaan calon. Namun demikian, segala tindak-tanduk sepanjang perjalanan ke pusat penamaan calon perlu dijaga sebaik mungkin.

Silap berkata-kata ataupun silap melaungkan slogan semangat, boleh menyinggung hati penyokong calon parti lain.

Ini bukan tidak pernah berlaku, tetapi bersyukur tidak berlaku di Sarawak.

Dapat diperhatikan keduadua penyokong akan duduk sama di kedai kopi walaupun masing-masing menggunakan baju parti berlainan.

“Apa guna nak kelaie (gaduh), lepas tok kita akan jumpa agik?”

Jelas seorang penyokong parti kerajaan.

Penyokong parti lain pula menjawab:

“Aoklah… biarpun parti kami berbeza, tapi kami masih dapat duduk semeja sambil minum kopi dan makan mi kolok.”

“Kelaie pun sik guna… nya tok (rakan semeja) sama kampung kamek… walaupun lain parti politik, kami tetap kawan,” jelasnya lagi.

Dan, ketika menyertai calon Yang Berhormat berkempen, saya pernah melihat penyokong parti A begitu mesra dengan penyokong parti B ketika berada di sebuah kampung dalam tempoh berkempen.

“Silakan masuk… sik ada masalah… kita sama-sama berjuang demi negara walaupun parti sik sama,” jelas penyokong parti B.

Dia menjelaskan, pilihan raya tetap pilihan raya, tetapi apabila ada orang datang ke rumah untuk berkempen, walaupun berbeza parti politik, dia tetap terima dengan hati terbuka.

“Ini adat kita untuk memuliakan tetamu. Sik kan la kamek nak halau tetamu,” terangnya lagi yang menyebabkan penyokong lain mengangguk kepala tanda setuju.

Merayu undi

Ini yang wajar dilaksanakan oleh perayu undi mana-mana parti politik yang akan berkunjung dari rumah ke rumah untuk mengajak orang kampung turun mengundi.

Jangan ada yang tidak mahu ke rumah penduduk yang diketahui menyokong parti lain.

Memang tujuan utama meraih undi, tetapi jangan pula individu di dalam rumah itu dikesampingkan.

Perayu undi harus positif dalam hal ini kerana selain merayu undi, ia peluang untuk mengajak penduduk ramai-ramai turun mengundi pada 19 November kelak bagi memastikan peratusan keluar mengundi kelak meningkat berbanding PRU-14.

Pada masa yang sama dapat melihat keperluan penduduk yang mungkin terlepas pandang disebabkan tidak dimaklumkan akan hal itu.

Apa-apa pun, jaga tatasusila ketika berkempen. Berhemah ketika kempen agar silaturahim tidak terjejas.

Hadam peribahasa “seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berselerak”.

Jangan menghasut dan memfitnah kerana kita tidak mahu seperti pepatah “disebabkan setitik nila, rosak susu sebelanga”.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Politik pejabat

KETIKA menikmati sarapan di sebuah kedai kopi di Petra Jaya,

E-Paper

23 Mac 2023

Berita Terbaru