Gagal ‘mengukur baju di badan sendiri’ penyebab pelajar IPT terjebak sugar daddy

KUCHING: Kegagalan ‘mengukur baju di badan sendiri’ mungkin menjadi antara penyebab terjebaknya golongan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan ‘sugar daddy’.

Penolong Naib Cancelor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata apa yang berlaku ke atas golongan pelajar ini pastinya ada kaitan dengan corak dan gaya hidup serta memenuhi keinginan diri yang melebihi kemampuan.

“Hidup sebagai pelajar tanpa didorong oleh nafsu yang terlalu mengejar kesenangan dan kemewahan dengan mencari jalan mudah sudah pasti tidak akan mendorong mereka ke lembah sedemikian,” katanya ketika dihubungi hari ini, bagi mengulas isu ‘sugar daddy’ yang dikaitkan dengan pelajar IPT di Malaysia.

Menjelas lanjut, beliau berkata kereta, apartment, wang saku, barang perhiasan serta telefon bimbit tercanggih dan berjenama adalah antara kemewahan yang mungkin mendorong golongan pelajar terbabit terjebak dalam kancah berkenaan.

katanya ini semua berbalik kepada kegilaan kebendaan dan prestij seiring bagi memenuhi gaya hidup di bandar, bukan angkara kepayahan hidup untuk meneruskan pengajian semata-mata.

“Tidak hairanlah kebanyakan daripada isu yang dilaporkan lebih bertumpu di daerah metropolis, kalau ada di kawasan luar bandar pun mungkin bilangannya kecil namun tetap bermotifkan alasan yang sama,” katanya.

Menurut Mohd Fadzil, secara amnya lebih-lebih lagi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sentiasa prihatin kepada golongan pelajar yang berkeperluan, dengan pelbagai inisiatif dan usaha sering dilakukan baik melalui pelbagai kelab dan persatuan pelajar, bahkan badan bukan kerajaan (NGO) mahu pun badan korporat juga sentiasa memberikan bantuan.

“Bagi IPTA terutamanya, jika kedengaran atau disampaikan maklumat mengenai kepayahan hidup pelajar, bukan hanya IPTA malah banyak pihak akan tampil menghulurkan bantuan.

“Mustahil mana-mana pelajar yang menghadapi kepayahan hidup diabaikan begitu sahaja jika ia dimaklumkan,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan jika pelajar bijak menguruskan diri dan pandai berbelanja mengikut keperluan sebenar, ia sudah cukup untuk membolehkan mereka menamatkan pengajian.

Katanya sebenarnya masih ramai pelajar yang hidup dalam kesempitan namun mereka memilih untuk hidup mengukur kemampuan serta bersikap zuhud seiring dengan kepayahan dan faham status diri bergelar pelajar.

“Golongan ini terbukti masih dapat meneruskan kelangsungan hidup sebagai pelajar tanpa perlu menggadaikan maruah atau mengorbankan akhlak sehingga berjaya menamatkan pengajian dan menjadi manusia cemerlang.

“Kepayahan dan cabaran hidup itulah lazimnya mendidik dan membentuk mereka untuk mengenali erti kepayahan dan ikhtiar sehingga menjadikan mereka golongan yang tabah, sabar menghadapi cabaran hidup dan prihatin serta pemurah sifatnya dalam membantu kepayahan hidup orang lain setelah berjaya nanti,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Fadzil menegaskan IPT boleh mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pelajar yang didapati terlibat dengan aktiviti sedemikian.

“Ya memang sukar tetapi bukan mustahil untuk dilaksanakan jika kita benar-benar serius untuk menangani isu ini, dengan kata lain usaha bersepadu melibatkan semua pihak terbabit perlu dilibat sama secara holistik,” katanya.

Malah, katanya pihak IPT juga perlu sentiasa memantau laman sesawang yang menawarkan aktiviti sedemikian seperti Sugarbook, bagi mengesan penglibatan pelajarnya.