Gagal seludup 63 burung terlindung pelbagai spesies

KUCHING: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) sekali lagi melakar kejayakan apabila berjaya menggagalkan penyeludupan haram 63 ekor burung terlindung pelbagai spesies bernilai RM68,600.00 hasil Op Bersepadu Khazanah di Bau, pada Khamis.

Timbalan Komander Briged Sarawak PGA, ACP Kaderi Said berkata operasi serbuan melibatkan anggota Cawangan Gerakan Risikan dan Skuadron Perisai 11 PGA bersama beberapa Pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) sekitar jam 10.30 pagi.

Menurutnya, kesemua burung terbabit ditemui disimpan di dalam sangkar mengikut gred dan baka masing-masing.

“Hasil pemeriksaan di lokasi menemui dua burung spesis Electus Parrot, empat burung Cockatiel, 21 Budgiepigar, tiga ekor Parrotlet, dua Sun Conure, empat Monk Parrot, 11 Love Bird, 12 Diamond Dove, dua Peacock, dan dua ekor burung Red Lorry.

“Turut ditahan, seorang lelaki berusia 45 tahun dipercayai pemilik burung-burung berkenaan,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Kaderi berkata pihaknya turut berjaya menemui dua spesis haiwan terancam hasil serbuan sebuah premis di Sibu sekitar jam 11 pagi.

“Hasil siasatan telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun dipercayai pemilik terhadap seekor landak dan seekor monyet yang berada didalam dua sangkar berasingan luar premis berkenaan,” tambahnya.

Jelasnya, kedua-dua pemilik berkenaan yang gagal menunjukkan sebarang dokumen serta permit sah pemilikan kesemua haiwan seterusnya ditahan bagi siasatan lanjut.

Dedahnya, kesemua haiwan yang dirampas seterusnya diserahkan kepada pihak SFC untuk tindakan selanjutnya dilakukan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 29 Sarawak Wildlife Protection Ordinance 1998.

Suara Sarawak