Gagal tunjuk surat kebenaran, 20 kenderaan diarah patah balik ketika rentas zon

KUCHING: Sebanyak 20 buah kenderaan diarahkan berpatah balik berikutan gagal menunjukkan surat kebenaran pergerakan antara zon di Sekatan Jalan Raya(SJR), semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar M.m Sree ketika dihubungi Suara Sarawak mengesahkan kesemua kenderaan itu ditahan menerusi dua operasi SJR yang dilaksanakan di Simunjan dan Sri Aman.

Menurutnya, operasi hari pertama SJR di kedua-dua lokasi menunjukkan sejumlah 721 buah kenderaan cuba merentasi kawasan antara zon 1 dan 2.

“SJR di Simunjan mencatatkan sejumlah sembilan kenderaan manakala di Sri Aman sebanyak 11 buah kenderaan telah diarahkan untuk berpatah balik atas alasan gagal menunjukkan surat kebenaran rentas zon.

“Bagi kenderaan yang memiliki surat kebenaran dan dibenarkan melalui SJR masing-masing berjumlah 189 di Simunjan dan 512 buah di Sri Aman,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, seramai 16 anggota telah dikerahkan ke kedua-dua lokasi bagi memastikan SJR berjalan lancar.

Ujarnya, hari pertama SJR menunjukkan pematuhan baik daripada orang ramai berikutan tidak banyak kenderaan yang merentas zon serta mempunyai kebenaran daripada pihak polis untuk melakukan rentas zon.

Tambah beliau, sebanyak 2,857 permohonan diterima daripada orang awam bagi kebenaran pergerakan di balai-balai polis di seluruh negeri dalam tempoh 24 jam bermula 31 Julai.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 2,763 permohonan diluluskan manakala 94 daripadanya telah ditolak.

Dev selain itu turut menegaskan sebanyak 76 notis kompaun telah dikeluarkan ke atas orang awam atas kesalahan tidak memakai pelitup muka serta tidak mematuhi prosuder operasi standard (SOP) yang dikeluarkan sebelum ini.

Suara Sarawak