Gaji, kos cabaran Kuching FA

PRESIDEN Kuching FA yang juga pengurus pasukan Fazzrudin Abdul Rahman menjanjikan pasukan yang lebih mantap bagi menghadapi saingan Liga Premier 2020.

“Kami akan duduk berbincang bersama-sama staf kejurulatihan untuk merancang strategi. “Kita telah mengenal pasti pemain yang dapat beraksi dalam Liga Premier kelak. Kita mahu mereka berjuang untuk menaikkan nama Kuching FA,” kata Fazzarudin dalam sidang media khas malam kelmarin.

“Kita amat gembira dengan kemenangan malam ini (kelmarin)… kita mencapai sasaran layak bermain ke Liga Premier,” jelasnya.

Tambah beliau, cabaran yang bakal dihadapi pasukannya dalam Liga Premier 2020 nanti adalah kos pengangkutan dan pembayaran gaji pemain.

“Kita akan memberi pendekatan mengenai perbelanjaan pasukan kepada pemain sekiranya mereka tidak berminat, mereka boleh menarik diri atau berpindah ke pasukan lain. “Kita akan meneruskan kerja dengan perbelanjaan yang kecil, tetapi setakat ini pemain kita tidak memilih sama ada gaji besar atau kecil.

“Malah mereka hendak membuktikan bahawa Kuching FA dapat bermain ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya lagi. Fazzrudin turut menjelaskan mereka akan mengadakan pertemuan dengan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) untuk mendapatkan nasihat, bantuan dan panduan.

Dalam meraih kemenangan beliau turut menyuarakan kesedihan beliau kepada pasukan Sarawak yang gagal ke Liga Premier 2020. “Nasib menyebelahi pasukan saya untuk terus ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Suara Sarawak