Gaji rendah cabaran siswazah

BERDASARKAN laporan Ketua Perangkawan Malaysia, majoriti siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan pada 2020 akan menerima anggaran gaji antara RM1,001 hingga RM1,500 sebulan.

Ia jauh lebih rendah jika dibandingkan purata gaji RM2,001 hingga RM2,500 pada 2019.

Jika gaji siswazah bermula hanya RM1,000 maka ia lebih rendah daripada gaji minimum yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

Situasi ini amat menyedihkan kerana mempunyai ijazah biasanya dianggap sebagai pilihan terbaik untuk mendapatkan gaji yang lebih baik.

Kini, biarpun berkelulusan masa depan mereka belum pasti, hidup mungkin terkapai-kapai terutamanya yang tinggal di bandar.

Terdapat juga siswazah bekerja dengan syarikat penghantar barang seperti Food Panda, Grab dan berniaga secara dalam talian.

Sementara bagi yang bekerja kerajaan pula, ada khidmat yang ditawarkan secara kontrak, tetapi tidak pasti lagi bila akan diserap secara tetap. Sesungguhnya, pandemik Covid-19 menyukarkan lagi siswazah untuk mencari pekerjaan dengan kadar pengangguran semakin meningkat.

Ditambah lagi isu pekerjaan yang kritikal kerana banyak syarikat muflis, kerana hanya beberapa sektor terpilih dibenarkan beroperasi pada tahap minimum.

Ramai majikan terpaksa menangguhkan atau mengurangkan pengambilan siswazah pada 2020.

Dilaporkan pada tahun tersebut sahaja, terdapat lebih 32,000 syarikat ditutup susulan pandemik. Menurut laporan minggu ketiga 2021 Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Perkeso, jumlah kehilangan pekerjaan bagi 2020 meningkat kepada 167 peratus, iaitu daripada 40,084 pada 2019 kepada 107,024 (2020).

Sekitar 75,000 daripada 300,000 graduan pada 2020 dilaporkan sukar untuk mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, akibat impak Covid-19.

Jadi ini menjadi cabaran terbesar bagi yang berumur 30 tahun ke bawah, yang merupakan golongan paling terjejas akibat pandemik ini.

Majoritinya belum memiliki kestabilan kewangan kerana baru bekerja atau masih menganggur.

Dalam laporan akhbar nasional baru-baru ini, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain J P berkata walaupun mempunyai gaji permulaan yang lebih rendah, ia adalah sesuatu yang baik pada masa kini, berbanding tidak bekerja.

Menurut beliau, ia bukan mengejutkan untuk graduan menerima gaji permulaan lebih rendah, kerana ia ditentukan mengikut pasaran semasa.

Bagaimanapun, kita berharap kerajaan mengambil langkah untuk mengatasi masalah ini dengan mengumumkan perancangan lebih jelas bagi membantu pencari kerja.

Pengumuman itu mestilah disertakan dengan maklumat dan data yang tepat, serta pernyataan polisi yang jelas supaya siswazah atau pencari kerja ini mempunyai harapan dan masa depan.

Justeru, kita berharap situasi ekonomi semasa dan pandemik akan menjadi lebih baik selepas Program Imunisasi Kebangsaan berjaya direalisasikan.

Ia mengelak peningkatan kadar pengangguran di negara kita.

Suara Sarawak