Galak graduan jadi usahawan

GRADUAN ialah golongan terpelajar dan berpotensi melakukan perubahan positif. Pelbagai inisiatif dan strategi kerajaan menangani masalah pengangguran dengan menggalakkan tenaga muda negara menjadi usahawan.
Penglibatan pelajar dalam bidang keusahawanan pada peringkat pengajian tinggi juga dilihat penting sebagai proses pendedahan dalam menerapkan ciri dan budaya keusahawanan.
Hakikat apabila pelajar menamatkan pengajian untuk menceburi bidang keusahawanan, ia memberi keyakinan diri dalam menghadapi persaingan modal insan yang semakin mencabar.
Kini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha meningkatkan penyertaan graduan untuk menceburi bidang keusahawanan. Antara inisiatif ialah melibatkan program rintis kerjasama antara MEDAC dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Technopreneurship Programs for Fresh Graduate.

Program ini membangunkan kemahiran dan pengetahuan graduan mengenai teknologi 4.0 dan seterusnya berpotensi memberi peluang pekerjaan, selain menceburi bidang keusahawanan teknologi.
Menteri Medac Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia selaras sasaran menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul menjelang 2030. Kerajaan juga melaksanakan Agri Coaching and Industry Development (Acid) yang menawarkan peluang latihan keusahawanan melalui pertanian terutama bagi graduan dari golongan berpendapatan rendah, B40.  Tempoh pelaksanaan program itu adalah selama setahun membabitkan penyertaan seramai 140 peserta.
Selain itu, pelaksanaan program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp (N-Gene) yang bertujuan meningkatkan potensi kebolehpasaran dan membangunkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan belia secara dalam talian dan bimbingan perniagaan selama sembilan bulan yang dijangka bermula bulan depan.

Menteri Medac Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Kini, kebanyakan universiti di Malaysia menawarkan kursus keusahawanan kepada pelajar untuk memberikan pendedahan kemahiran dan menyuntik minat dalam aliran perniagaan.
Kajian lalu oleh pengkaji tempatan mencadangkan pendidikan keusahawanan pada peringkat awal dalam jangka panjang dapat menimbulkan minat individu terhadap keusahawanan secara semula jadi melalui satu proses dinamik berterusan.
Dalam konteks keusahawanan, Alvin Toffler, memperkenalkan istilah prosumerisme. Perkara yang dimaksudkan dengan prosumerisme oleh Toffler ada hubung kait dengan era informasi. Dalam buku The Third Wave, beliau menjelaskan prosumerisme menjadi hal yang sangat wajar dilakukan pihak pengguna sering perkembangan teknologi.
Prosumerisme memerlukan pelajar yang bukan saja mempunyai ilmu pengetahuan dan berminat menjadi usahawan, tetapi juga pandai memanfaatkan teknologi.
Dengan kata lain, pengguna bukan setakat menggunakan produk, tetapi juga menjadi pengeluar produk.
Ini secara relevan memberi impak kepada kejayaan atau kegagalan sesuatu perniagaan, produk atau jenama terutama di laman sosial. Rasional ialah semakin besar penyertaan pelajar dalam proses pembelajaran, hasil pembelajaran semakin meningkat.
Tidak dinafikan, prosumerisme berupaya menjana peluang pekerjaan yang lebih berinovasi, menangani pengangguran dan mengurangkan kemiskinan.
Sesungguhnya era Teknologi Maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT amat penting.
Apabila memperkatakan tentang Teknologi Maklumat, ia boleh dikaitkan kepentingan kepada usahawan. Kini, graduan yang menganggur harus memanfaatkan teknologi maklumat untuk menjadi usahawan berjaya.