KUCHING: Kerajaan Sarawak mengalu-alukan penyertaan aktif sektor swasta dalam pembangunan sektor minyak dan gas negeri ini, seiring dengan dasar minyak dan gas Sarawak.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata dengan kemasukan pelabur terutamanya pelabur asing, ia secara tidak langsung meningkatkan kapasiti dan keupayaan Sarawak dalam sektor minyak dan gas, daripada hanya melihat dan menunggu ‘pemberian’.
“Saya ingin memberi jaminan kepada pelabur terutamanya pelabur asing bahawa Kerajaan Sarawak akan meneruskan dasar mesra perniagaan dan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi dan teknologi tinggi ke Sarawak.
“Pada masa sama, saya ingin mendesak semua rakyat Sarawak terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mengikuti perkembangan terkini kerajaan supaya sedar mengenai peluang yang ditawarkan oleh inisiatif ini dan boleh mendapat manfaat daripadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dan Beijing BECA Sci-Tech Co., Ltd. dan Sinopec Engineering Incorporation mengenai Cadangan Pembangunan Kompleks Minyak dan Gas Bersepadu di Lawas, di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden Beijing BECA Sci-Tech Co., Ltd. Hao Liang dan Naib Presiden Sinopec Engineering Incorporation Zhao Xiangdong.
Sehubungan itu, Abang Johari menyambut baik kemasukan Beijing BECA Sci-Tech Co, Ltd dan Sinopec Incorporation yang memilih Sarawak sebagai lokasi pelaburan.
Katanya ini jelas menggambarkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan di kalangan banyak lokasi yang ada di Malaysia dan rantau ini.
“Terima kasih BECA dan SINOPEC atas kepercayaan di Sarawak. Saya beri jaminan Kerajaan Sarawak akan memastikan bahawa kompleks minyak dan gas bersepadu di Lawas akan menjadi kenyataan,” katanya.
Terdahulu, Abang Johari berkata Sarawak mempunyai rizab minyak dan gas yang banyak telah dieksport dalam bentuk mentah, dan tidak banyak aktiviti tambah nilai dilakukan untuk memperoleh lebih banyak manfaat untuk Sarawak.
Justeru, katanya Sarawak sekarang mahu mengambil bahagian aktif dalam pembangunan sumber minyak dan gasnya dan kerajaan Sarawak telah mengambil beberapa langkah strategik untuk memperkasa diri melaksanakan pembangunan sedemikian.
Menurutnya salah satu langkah awal ini adalah pembentukan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang akan menerajui usaha Sarawak sendiri untuk membangunkan industri minyak dan gasnya.
Malah baru-baru ini, kerajaan Sarawak meminda Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 untuk mengemas kini dan menguruskan operasi pembangunan minyak dan gas di negeri ini dengan lebih baik.
“Dengan OMO dan PETROS, kami ingin mengambil bahagian secara aktif dalam penerokaan dan pengekstrakan minyak dan gas di Sarawak serta terlibat dalam kegiatan huluan dan hiliran, terutamanya bagi membolehkan Sarawak mempunyai aliran pendapatan baru,” katanya.
Beliau menambah dengan mengenakan cukai jualan sebanyak 5 peratus ke atas produk minyak dan gas untuk eksport bermula tahun ini, Sarawak dijangka memperoleh pendapatan tambahan kira-kira RM3.8 bilion tahun ini di mana ia akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur, terutamanya di kawasan luar bandar.
