Galakkan remaja untuk berjinak dalam sukan muaythai di Sarawak

BINTULU: Kementerian Belia dan Sukan Sarawak sentiasa menyokong pembangunan sukan di negeri ini termasuk sukan muaythai.

Menterinya, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini adalah sukan muaythai kini sudah mulai mendapat tempat di hati peminat daripada pelbagai golongan usia di negeri ini termasuk Bintulu.

Malah, katanya, sukan muaythai antara sukan yang akan dipertandingkan dalam sukan SEA di Filipina kelak.

Beliau, dalam pada itu berkata, seorang anak tempatan Bintulu, Awangku Abdul Rahman Awang Mara akan mewakili Malaysia ke Sukan SEA kategori 57 kilogram.

Berucap pada Kejohanan Muaythai Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak “Ultimate Muaythai International 2019”, di sini semalam, Karim penganjuran kejohanan kali ini dapat memupuk gaya hidup sihat masyarakat khususnya sekitar Bintulu.

Malah, beliau turut berharap agar penganjuran kejohanan bersama Dewan Usahawan Perniagaan dan Perindtrian Cina Bintulu itu dapat membuka minda masyarakat tempatan terutama golongan remaja untuk berjinak dalam sukan muaythai yang semakin terkenal dewasa ini bukan sahaja di Bandaraya Kuching, Samarahan, tetapi juga di Bintulu.

Beliau yakin keharmonian dalam bermasyarakat dapat dikekalkan dan ditambah baik menerusi hubungan masyarakat pelbagai kaum dalam penyertaan program dan kejohanan muaythai.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud turut meluangkan masa menyaksikan pertarungan antara petinju dari Kelab D40 Muaythai Miri, Morris Hii dan Sofi Syazwani dari Kelab Muaythai Kenyalang yang berlangsung meriah di gelanggang muaythai di Paragon Naim, di sini bagi merebut Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Dalam pertarungan sengit itu, Morris dinobatkan juara setelah menumpaskan Sofi menerusi pukulan “KO” pada pusingan kedua perlawanan.

Lebih 50 pertarungan melibatkan petinju dalam dan luar negara mengambil bahagian berlangsung sepanjang kejohanan yang berlangsung bermula dari 22 hingga 24 November.

Saingan kali ini turut disertai peninju ternama dari Thailand, Indonesia, Norway termasuk Semenanjung Malaysia yang akan bertarung dalam beberapa kategori.

Kejohanan anjuran Persatuan Muaythai Negeri Sarawak dengan kerjasama Dewan Usahawan Perniagaan dan Industri Cina Bintulu(BCCI) ini berobjektif mempromosi sukan muaythai di kalangan masyarakat terutama generasi muda.

Kejohanan ini antara aktiviti sihat yang menekankan disiplin tinggi dan berfaedah untuk semua peserta.

Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak, Haji Jumaat Haji Ibrahim, Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil, Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat, pengerusi BCCI Yek Siew Ling hadir sama.