KUCHING: Penubuhan Galeri Seni Kuching di salah sebuah bangunan lama berhadapan Balai Polis Sentral akan menjadi satu lagi tarikan buat pengunjung dan pelancong di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia akan diwujudkan di bangunan lama Majlis Perbandaran Kuching (KMC) dan dijangka dapat beroperasi menjelang awal 2025 kelak.

“Ketika ini, pengubahsuaian sedang dijalankan terutama pada bahagian lantai bangunan kerana terdapat beberapa bahagian yang terjejas akibat kerja-kerja di lapangan termasuk penggerudian.
Kita mahu mengukuhkan bahagian ini terlebih dahulu.
“Kita juga menjangka kerja-kerja tersebut akan siap pada satu atau satu setengah tahun lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Borneo Illustration and Creative Festival (BIC) Festival Vol.2 di La Promenade Mall, Kota Samarahan, hari ini.
Tambahnya, beliau meminta bangunan tersebut daripada Kerajaan Sarawak kerana melihat ia sebagai lokasi strategik yang dekat dengan Muzium Budaya Borneo (BCM); Muzium Sejarah Semulajadi; dan Muzium Maritim di sekitar bandar ini.
“Para pengunjung dan pelancong yang minat dengan sejarah, artifak, dan karya seni boleh berkunjung ke tempat menarik itu dengan hanya berjalan kaki,” ujarnya.



