Gambaran masalah air di Belawai tidak tepat – Len Talif

TANJUNG MANIS: Tidak semua penduduk mengalami gangguan bekalan air dan masalah itu hanya dialami oleh beberapa buah rumah di kampung Belawai dipercayai berpunca daripada tekanan air rendah.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, menegaskan, gambaran segelintir pihak yang seolah-olah membayangkan masalah itu dialami oleh seluruh penduduk Belawai adalah tidak berasas sama sekali.

“Kawasan yang terlibat hanya beberapa buah rumah di Kampung Lot Baru tetapi ditular dalam media sosial, mengambarkan seluruh kampung Belawai tidak ada air. Sehubungan itu, saya ingin menegaskan gambaran itu adalah tidak tepat. Berdasarkan laporan, hanya beberapa buah rumah sahaja yang terjejas terutama pada waktu tekanan air rendah.

“Walaupun begitu, kita akan terus berusaha mengatasi masalah ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Satu perjumpaan diadakan baru-baru ini bagi membincangkan masalah berkenaan secara lebih khusus bersama pemimpin masyarakat, wakil Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tanjung Manis. Ia dihadiri Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang.

Len Talif mengadakan perjumpaan khusus bagi membincangkan jalan penyelesaian masalah air yang dialami penduduk di Belawai, di Pejabat Daerah Tanjung Manis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N.41 Kuala Rajang, menggesa kerjasama semua pihak terutama ketua masyarakat dan ketua kampung menyalurkan maklumat terperinci berhubung masalah itu supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan.

“Saya mahu ketua masyarakat memaklumkannya kepada agensi bertanggungjawab jika masalah ini (gangguan bekalan air) berlaku di kawasan masing-masing.

“Kita tidak mahu ada pihak tertentu mengambil kesempatan menjadikan isu ini sebagai alat untuk memburukkan kerajaan bagi menjayakan agenda politik mereka. Saya ingin menegaskan kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian. Ini selaras dengan matlamat kita untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat di luar bandar khususnya di Tanjung Manis dan Belawai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, usaha mengantikan saluran paip lama dengan yang baharu kini sedang giat dilakukan.

Ujarnya, projek yang bernilai RM50juta dari Bayong Sarikei sehingga ke Tanjung Manis itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun (Mei 2021).

“Projek ini termasuk membina tangki tambahan di Sekumang, Tanjung Manis. Usaha ini dilakukan kerana kebanyakan saluran paip yang digunakan uzur dan mengalami kebocoran.

“Pada masa yang sama, kerajaan terpaksa menggunakan bekalan dari Bayong Sarikei kerana sumber air bawah tanah tidak mencukupi bagi menampung pembangunan Tanjung Manis.

“Oleh kerana itulah, Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan menggunakan bekalan air dari Batang Rajang yang disalurkan dari Sibu. Usaha yang mempunyai impak besar dalam tempoh jangka panjang ini dilakukan kerana kerajaan sedar keperluan bekalan air di Tanjung Manis akan bertambah dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Projek pemasangan saluran paip baharu sedang giat dilaksanakan.