Ganda usaha agih bantuan

KUCHING: Semua pusat khidmat Adun dan ahli Parlimen diminta melipatgandakan usaha mengagihkan bekalan makanan kepada isi rumah yang terjejas.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, bantuan tersebut diberikan kepada isi rumah yang terjejas dan terputus bekalan makanan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

“Jawatankuasa Bekalan Makanan Peringkat Negeri yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut mengarahkan supaya pengagihan dilaksanakan oleh pusat khidmat wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Khas Pengagihan Bekalan Makanan Kawasan Dun Bahagian Kuching di Pejabat Residen Kuching, baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Khui Hian. Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti menjelaskan, pengurusan pusat khidmat akan mengagihkan bantuan mengikut pendekatan tersendiri tanpa melanggar peraturan PKP.

Suara Sarawak