Gandakan pendapatan Sarawak

KUCHING: Perjanjian penyelesaian komersial yang ditandatangani antara Kerajaan Sarawak dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) adalah satu kejayaan besar untuk negeri ini.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, kejayaan berkenaan akan memakmurkan lagi ekonomi Sarawak.

“Ia sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dalam tempoh jangka panjang,” katanya semalam.

Pada 7 Disember lalu, perjanjian tersebut dimeterai di Kuala Lumpur dengan Petronas diwakili oleh Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, manakala Kerajaan Sarawak diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sebagai rekod, lima inti pati utama perjanjian penyelesaian komersial tersebut antaranya membolehkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), iaitu anak syarikat milik Kerajaan Sarawak memainkan peranan yang lebih besar termasuk mengawal, mengurus dan menjalankan semua operasi perlombongan minyak di daratan.

Selain itu, Sarawak diberi ekuiti untuk terlibat sama dalam operasi cari gali minyak dan gas di laut atau Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC).

Sarawak turut diberi kuasa untuk membuat pelaburan dan menambahkan ekuiti dalam Malaysia LNG Group of Companies (MLNG) Sdn Bhd dan MLNG 2 Sdn Bhd sehingga 25 peratus.

Malah Sarawak turut diberi kuasa membentuk dan melaksanakan satu pelan induk gas yang komprehensif untuk

Dan terakhir, anak negeri ini dan syarikat Sarawak terus diperkasakan melalui program vendor Petronas dan Petros selain terus terlibat sama dalam semua perniagaan minyak dan gas di negeri seperti yang dipersetujui.

Pada Mei lalu, Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan Petronas bersetuju menyelesaikan isu berkaitan pelaksanaan cukai jualan negeri berhubung produk petroleum tanpa melibatkan tindakan undang-undang.

Tindakan undang-undang yang dilakukan oleh kedua-dua pihak digugurkan pada Ogos, selepas kata sepakat dicapai untuk menyelesaikan perkara itu di meja rundingan.