Gangguan bekalan air jejaskan penduduk di Jalan Puncak Borneo dan Jalan Landeh

PADAWAN: Ribuan penduduk dari beberapa kawasan yang terletak di sepanjang Jalan Puncak Borneo dan Jalan Landeh terputus bekalan air, difahamkan sejak malam tadi.

Antara kawasan terjejas ialah RPR Landeh, Semenggok, Kampung Sri Arjuna, Kampung Sinar Baru, Kampung Landeg, Kampung Paya Mebi, Kampung Mambong termasuk Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kuching (KSKB) dan Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Malah sehingga sekarang, bekalan air masih belum pulih walaupun pihak berkuasa berkaitan sedang berusaha menyelesaikan gangguan bekalan pada kadar segera.

Lembaga Air Kuching (LAK) dalam notisnya menyatakan gangguan bekalan air berlaku berpunca daripada masalah dalam sistem bekalan air di sepanjang Jalan Puncak Borneo dan Jalan Landeh.

“Kerja di tapak sedang berjalan sehingga sistem stabil,” katanya.

Notis itu turut menyatakan bahawa LAK sedang melakukan penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan-kawasan terjejas.