ARTIKEL

SEGERA… Pasukan Sesco melakukan kerja-kerja penyelenggaraan kerosakan kabel bawah tanah.

Gangguan bekalan elektrik di Matang, Batu Kawa akibat vandalisme

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerosakan kabel bawah tanah milik Sarawak Energy berhampiran Kampung Gita akibat vandalisme menjadi punca gangguan bekalan elektrik di pencawang 33KV Matang, 12 Mei lalu.

Sarawak Energy dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerosakan itu menyebabkan bekalan elektrik terputus di kawasan Matang dan Batu Kawa kira-kira jam 1.30 petang.

Menurut kenyataan itu, pasukan teknikal daripada Syarikat SESCO Bhd (SESCO), bahagian operasi dan peruncitan Sarawak Energy segera ke lokasi.

“Kerja-kerja pembaikan kabel bawah tanah, yang membekalkan elektrik ke kawasan Matang dan Batu Kawa telah berjaya disiapkan pada jam 1 pagi pada 13 Mei,” kata kenyataan itu.

Tambah Sarawak Energy, pemeriksaan lanjut di tapak menemui kesan-kesan vandalisme pada kabel itu selain menunjukkan penceroboh berkemungkinan cedera semasa cubaan mencuri.

Laporan polis telah difailkan dan SESCO akan meningkatkan rondaan keselamatan di kawasan itu untuk menghalang kejadian berulang, jelas kenyataan itu.

Pada masa sama, SESCO merekodkan sebanyak 205 kes vandalisme ke atas kesemua fasiliti milik syarikat itu
di seluruh Sarawak sejak 2023, dengan 36 kejadian dilaporkan di Kuching.

Syarikat elektrik itu telah mengalami kerugian lebih RM3 juta tidak termasuk kerugian yang menyebabkan kesulitan pengguna semasa gangguan bekalan elektrik berlaku.

Pengurus Wilayah Barat Sarawak Energy, Tan Joo Kok melahirkan kebimbangan terhadap sikap tidak mengendahkan keselamatan oleh individu yang melakukan vandalisme dan kesan terhadap penduduk berhampiran.

“Adalah dikesalkan bahawa walaupun tragedi lalu termasuk kehilangan nyawa telah berlaku, sesetengah individu masih memilih untuk mengambil risiko berbahaya dengan mencuri tembaga untuk mendapatkan keuntungan cepat dan mudah.

“Tindakan vandalisme ke atas kemudahan elektrik ini menimbulkan risiko kecederaan parah seperti renjatan elektrik, melecur malah kehilangan nyawa. Tindakan itu bukan sahaja membahayakan nyawa tetapi juga menyusahkan orang awam,” ujarnya.

VANDALISME… Kabel bawah tanah mengalami kerosakan disebabkan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu beliau berkata, Sarawak Energy akan terus bekerjasama dengan pemimpin masyarakat dan media untuk mendidik orang ramai tentang bahaya vandalisme ke atas kemudahan elektrik.

Selain mempergiatkan rondaan malam, Sarawak Energy memperkukuh langkah keselamatannya dengan menggunakan kemudahan berteknologi tinggi untuk mengesan sebarang aktiviti pencerobohan berhampiran pencawang elektrik.

Sarawak Energy juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menjalankan operasi bersama termasuk pemeriksaan dan memantau perdagangan kabel tembaga yang dicuri di seluruh Sarawak.

Orang ramai digalakkan untuk melaporkan aktiviti yang mencurigakan kepada Pusat Khidmat Pelanggan 24 jam Sarawak Energy di 1300-88-3111 atau melalui e-mel di customercare@sarawakenergy.com dengan jaminan kerahsiaan sepenuhnya.
KAPSYEN:

BERITA LAIN

BERITA TERBARU