ARTIKEL

Datuk Mancha Ata

Gara-gara panik, suri rumah rugi sekitar RM100,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Seorang suri rumah mengalami kerugian sekitar RM100,000 selepas terpedaya dengan panggilan penipuan oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, pihaknya menerima laporan berhubung modus operandi sindiket panggilan penipuan terbabit pada 22 Mei lepas.

“Mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali menyamar sebagai polis dan menyatakan mangsa ialah suspek yang terbabit dalam jenayah penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mancha, mangsa menerima panggilan daripada nombor telefon yang tidak dikenali dan memperkenalkan diri daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Katanya, menerusi panggilan pertama daripada suspek, mangsa didakwa mempunyai 15 aduan atas kesalahan menipu orang lain.

“Panggilan itu kemudian disambung kepada suspek kedua yang menyamar sebagai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan Bukit Aman.

“Mangsa diarahkan untuk membuat laporan berkenaan aduan secara dalam talian sahaja dan dalam panggilan itu, suspek memaklumkan mangsa terlibat dengan beberapa kegiatan jenayah seperti penggubahan wang haram dan bersubahat dengan individu yang dikehendaki.

“Suspek mengarahkan mangsa supaya mengeluarkan kesemua wang simpanan dan dipindahkan ke dalam beberapa pemilik akaun bank berbeza untuk siasatan selanjutnya,” ujarnya.

Mengulas lanjut kata Mancha, mangsa yang dalam keadaan panik melakukan pindahan wang sebanyak 14 transaksi kepada enam akaun bank berbeza sejak pertengahan April sehingga pertengahan Mei ini.

Ujarnya, setelah mangsa membuat kesemua bayaran tersebut, mangsa menyedari dirinya ditipu dan mengalami kerugian sekitar RM100,000.

“Malah, mangsa juga mengikuti arahan suspek untuk mengoyakkan beberapa resit transaksi bank, merahsiakan panggilan yang diterima dan merahsiakan segala pemindahan wang yang diminta,” katanya.

Sehubungan itu, Mancha menasihati orang ramai agar memuat turun aplikasi whoscall untuk membantu membuat keputusan sama ada mahu menjawab panggilan telefon yang diterima atau sebaliknya.

“Orang ramai juga boleh mengimbas qr untuk mendapatkan maklumat terkini tentang modus operandi jenayah komersil di akaun media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan e-book jenayah komersil.

“Semakan nombor telefon dan akaun bank suspek juga boleh dilakukan melalui aplikasi check scammers ccid atau melalui laman web http://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU