ARTIKEL

Garis panduan pemakaian murid ke sekolah dalam kajian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengumpul pandangan dan input daripada semua pihak berhubung garis panduan pemakaian murid ke sekolah, sama ada tidak perlu memakai pakaian seragam untuk sesi persekolahan akan datang.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata setakat ini, KPM belum membuat sebarang keputusan lagi berhubung garis panduan itu kerana pihaknya masih mendengar sumbang saran daripada pihak berkepentingan.

“Kita masih mendengar pandangan dan sumbang saran daripada semua pihak, termasuk pihak berkepentingan seperti ibu bapa dan pemegang taruh berkaitan dengan isu itu, tapi untuk setakat ini kita belum buat sebarang keputusan lagi berhubung perkara tersebut.

“KPM sedang kumpulkan semua input-input itu (sebelum buat keputusan), tapi untuk setakat ini teruskan dengan pemakaian yang ada,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja sempena gangguan bekalan air di Pulau Pinang, di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Seri Nibong di sini semalam.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung garis panduan pemakaian seragam, bagi sesi persekolahan tahun 2024.

Pada 3 Mei 2023, KPM membenarkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikannya memakai pakaian atau baju sukan ekoran cuaca panas, dan kebenaran khas itu bertujuan mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.

Mengulas mengenai lawatan kerjanya, Fadhlina berkata setakat ini pemantaun dari segi pendidikan memperlihatkan guru-guru bersedia untuk pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), selepas semua sekolah di Pulau Pinang melaksanakan PdPR ekoran gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula Rabu.

“Hari ini merupakan lawatan satu hari saya di Pulau Pinang, bagi melihat sendiri dan memantau keadaan tiada air dan ia sedikit sebanyak menjejaskan institusi pendidikan di negeri ini, dan Alhamdulillah sepanjang lawatan menyaksikan komitmen yang tinggi daripada JPN (Jabatan Pendidikan Negeri), PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan sekolah, khususnya guru-guru untuk memastikan pendidikan anak-anak tidak terjejas.


“Sebenarnya ini tempoh yang sangat baik untuk kita perkukuhkan beberapa elemen dalam pendidikan kita, khususnya PdPR dan juga memastikan akses pendidikan kepada anak tetap sampai walau di mana sahaja mereka berada, jadi secara keseluruhan dari segi pendidikan, akses pendidikan tidak ada sebarang masalah,” katanya.


Fadhlina berkata dari segi persediaan simpanan bekalan air terutama di sekolah-sekolah yang berasrama, berjalan lancar dan baik malah pada hari ini sudah ada sekolah yang telah mendapat bekalan air.

Sebelum ini media melaporkan semua sekolah di Pulau Pinang kecuali pelajar tingkatan lima dan kolej prauniversiti, akan menjalani sesi PdPR susulan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari, bermula 10 Jan.

Pelajar tingkatan lima dan kolej prauniversiti akan menjalani pembelajaran seperti biasa di sekolah, susulan peperiksaan yang telah dijadualkan. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Mesyuarat mingguan hingga 20 Mac selesai isu padi, beras

KUALA LUMPUR: Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta majlis itu

Fahmi ulang jaminan keselamatan sistem PADU

Kerajaan mengulangi jaminan terhadap keselamatan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) susulan dakwaan sistem yang mengumpulkan data peribadi rakyat Malaysia itu digodam. Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

BERITA TERBARU

Kesihatan Tze Yong diutamakan BAM – Norza

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan tidak terlalu memberi tekanan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, dalam usaha mengejar slot ke

Lebih 360,000 ngusung Muzium Budaya Borneo

KUCHING: Muzium Budaya Borneo (BCM) ngerikod lebih 360,000 pengusung sepemanjai taun 2023. Menteri Dagang Temuai, Industri Kreatif enggau Seni Pemerindang (MTCP), Datuk Seri Abdul Karim