Garis panduan rakyat Sarawak pulang ke negeri ini ditambah baik

KUCHING: Seramai 313 rakyat Sarawak tiba dari luar negeri hari ini mendaftar masuk di hotel sebagai individu di bawah pemantauan (PUS), kata Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Tambah sekretariat itu, seramai 22 lagi PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“JPBN dalam pada itu menambah baik garis panduan bagi menguruskan rakyat Sarawak yang balik dari luar negara, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan.

“Pertama, rakyat Sarawak yang balik dari luar negara (termasuk pelajar) akan di kuarantin dan diambil sampel pada hari ke-10,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata JPBN lagi, mereka akan dibenarkan pulang pada hari ke-14 sekiranya keputusan sampel adalah negatif.

“Kedua, rakyat Sarawak (termasuk pelajar) yang balik dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan yang kediaman terakhir mereka di kawasan hijau akan dibawa ke Pusat Kuarantin (hotel) dan diambil sampel.

“Sekiranya keputusan sampel adalah negatif, mereka akan dibenarkan pulang dan diberikan Notis Duduk di Rumah (SHN),” jelasnya.

Ketiga, kata JPBM, rakyat Sarawak (termasuk pelajar) yang balik dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan yang kediaman terakhir mereka di kawasan merah dan kuning, mereka akan diberikan SHN.

“Mereka akan diambil sampel pada hari ketujuh dan jika keputusan sampel adalah negatif dan mereka terus kekal menjalani kuarantin di rumah sehingga tamat tempoh 14 hari,” ujarnya.