Garis panduan sambut Aidilfi tri dan Gawai

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk dipatuhi orang ramai menjelang sambutan Aidilfitri dan Gawai pada hujung bulan ini dan awal bulan depan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, SOP ini dikeluarkan sebagai usaha memelihara zon hijau daripada pandemik Covid-19.

“Kita bersifat dinamik dalam membuat sebarang keputusan dengan mengambil kira perkembangan wabak dan situasi semasa.

“Perkara paling penting adalah penjarakan sosial dan kita akan umumkan SOP kelak,” katanya pada sidang media harian pandemik Covid-19 di sini semalam.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, cabaran utama kampung dan rumah panjang adalah mengekalkan zon hijau.

Katanya, zon hijau kini merangkumi 70 peratus kawasan di Sarawak.

Dalam pada itu, Uggah memberitahu, Kerajaan Sarawak mengambil keputusan mengurangkan penerbangan Bintulu ke Kuala Lumpur sekali seminggu selepas mengambil kira kapasiti yang ada.

“Kita mengambil kira bilangan hotel di Bintulu untuk kuarantin individu di bawah pemantauan (PUS) yang agak kurang.

“Malah, kita bukan sahaja mengurangkan jumlah penerbangan di Bintulu tetapi Kuching dan Miri,” jelasnya.

Bagaimanapun ujar Uggah, keperluan untuk menambah penerbangan akan dikaji dari semasa ke semasa bergantung kepada kapasiti.