ARTIKEL

Gawe Basaroh meniti senja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JAIS SAHOK

SELURUH Sabiris sudah riuh. Seminggu lagi tarikh rasmi menjelang gawe, Sabiris sudah riuh.

Bukan sahaja manusia dan ternakan yang riuh, unggas penyanyi senja pun bagai hilang kawalan.

Masing-masing bersaing memperdengarkan pekik lolong kegirangan.

Rumah yang mengambil bahagian sudah dua puluh lapan buah. Kalau ada dua duah lagi, cukuplah.

Akan menjadi kemeriahan luar biasa kalau tiga puluh buah untuk basaroh.

KK Antoni kata, “kalau tiga puluh buah rumah ambil bahagian, basaroh akan lebih meriah. Basaroh akan menempa sejarah kampung tersendiri. Satu rekod basaroh baharu akan tercipta.”

Daripada semangat kata-kata harapan itulah kesatuan tekad itu bulat. Kalau dulu basaroh disepakati secara adhoc masa nonton sahaja.

Berlaku secara kebetulan.

“Tapi kali ini biar aku yang atur, “ kata KK Antoni pada malam mereka merundingkan keputusan basaroh itu di rumahnya duai minggu lalu.

Sejak terdengar berita basaroh itu, Si Jenggo sudah membuat keputusan.

Kebetulan rakan sekolahnya, Si Hamdan, ada menelefon. Bertanyakan khabar.

Kebetulan juga dia mendapat tahu bahawa Kampung Sabiris mengadakan gawe basaroh.

Dia akan ikut serta.

Berat atau ringan, dia akan ikut serta.

Pada malam sebelum gawe basaroh itu dia bermalam di rumah Si Kalambe di Parunank dan pada hari basaroh, dia akan ke rumah KK Antoni.

Dia enggan sesat atau salah.

Dia pasti basaroh akan bermula dari rumah KK sendiri dan berakhir di rumah yang sama.

Dia akan minta Si Kalambe menghantarnya dengan motosikal seawal yang mungkin.

Dan dia tidak risau sama ada dapat tidur lena atau tidak di rumah Si Kalambe.

Yang penting, dia tidak mahu terlepas peluang itu.

Gawe basaroh semakin ditinggalkan.

Lagipun Si Tini, menurut Si Hamdan memang mencadangkan rumahnya disinggahi juga oleh rombongan basaroh.

Dan dia akan pastikan dia terus basaroh sampai ke rumah Si Tini.

Kalau nak tumbang selepas itu, tumbanglah.

Kalau tewas kerana tidak biasa basaroh, tewaslah.

Matlamat sudah sampai.

Kali ini dia mesti berani.

Pada basaroh kali inilah keberaniannya akan berada di puncak perasaannya.

Kesian dia pada Si Tini.

Kalaulah tidak kerana Si Mamat, pelajar Tingkatan Tiga dari Biawak, sudah pasti Si Tini akan menjadi miliknya.

Ketika itu teman-teman di asrama sudah riuh mengatakan Si Tini pujaannya.

Kalau bercakap tentang pelajar perempuan, pasti ada yang mengatakan Si Tini pujaan Si Jenggo.

Dan dia tidak pernah membantah usikan itu. Jauh di sudut hatinya, memang dia suka akan usikan itu.

Dan jauh di saujana perasaannya, memang dia cinta, sayang kepada Si Tini.

MULUT TERKUNCI

Cuma masalahnya, mulutnya tidak pernah mahu terbuka setiap kali bertembung pandang dengan Si Tini.

Tapi Si Mamat menjadi pematah hati pengulam perasaannya pada peristiwa dia tiba-tiba terlihat kelibat Si Mamat tercegat di hadapan meja Si Tini selepas waku private study waktu malam.

Dihampirinya meja Si Tini dekat-dekat dengan harapan Si Mamat beredar dari situ.

Harapannya menjadi debu yang bergentayangan di permukaan laut yang gelora. Seminggu kemudian seluruh Sabiris tiba-tiba kecoh.

Masing-masing menggosip Si Tini dengan Si Mamat.

Baca lain  Sultan Musa

Bagai ditiup-tiup untuk mengganyang perasaan manisnya terhadap Si Tini sahaja gelora gosip itu.

Kekecohan itu memang dirasakannya menginjak-injak dan menghentak-hentak keberanian Si Jenggo.

Disengajakan untuk memusnahkan harapannya.

Ditakdirkan untuk menjadinya manusia pengalah kepada orang lain.

Sejak keriuhan itulah dia jadi tikus sawah yang keracunan tuba akar.

Tidak pernah mahu terbuka mulutnya setiap kali pandangnya tertancap kelibat Si Tini.

Namun, sama sekali dia tidak menyalahkan Si Tini dalam hal itu.

Walaupun dia tahu Si Tini tambah suka juga kepadanya, tetapi dia tetap menyalahkan dirinya.

Pengecut! Dia membentak.

Ditelahnya perlahan-lahan pedih bentakan perasaannya itu.

Bentakan itu sudah berlaku entah berapa puluh atau ratus kali, dia tidak pernah ada kekuatan untuk menghitungnya lalu menyumbatnya ke dalam ingatan.

Setelah tamat Tingkatan tiga, dia membawa diri ke Miri.

Dia tidak mempunyai kelayakan gred untuk menyambung pelajaran ke tingkatan empat.

Dia memperoleh gred tiga sahaja.

Untuk ke tingkatan empat, dia perlu memperoleh minumum Gred 2 dengan 36 unit daripada sembilan mata pelajaran.

Begitulah SJC yang dilaluinya.

Namun SJC itu menjadi sesuatu yang kurang penting. Pelbagai kerja dilakukannya untuk menyara hidup bujangnya di Miri.

Selama 30 tahun membawa diri dan membawa perasaannya yang aneh ke Miri tidak pernah hatinya terbuka kepada perempuan lain.

Sesekali dia berasa pelik. Hairan.

Dia berasa seolah-olah sudah ditambat oleh Si Tini. Pernah juga dia buruk sangka, Si Tini menggunakan gunaguna.

Tapi ah, karut, getusnya menyedapkan hati.

Mustahil orang sebaik Si Tini dan secantik wajahnya hendak melakukan perkara buruk.

Dipadamkannya sahaja fikiran dan bayangan itu.

Setiap kali memejamkan matanya, sebelum diulit lena, Si Tinilah yang muncul dalam bayangan.

SUKMA TERGONCANG

Pernah juga entah berapa kali, dia terbayang hidup bersama-sama Si Tini sebagai suami isteri dan membesarkan sampai lima orang anak.

Si Tini memang ayu. Jelita.

Memang senyumnya mahal, dia mengaku, tapi sesekali senyum itu terukit, seluruh sukmanya akan goncang.

Senyumnya mahal tetapi setiap kali sneyum itu terlukis di bibirnya bagai seluruh papan dan atap SK Sabiris itu turut senyum.

Semakin mereka berada di penghujung usia persekolahan di SK itu, Si Tini kian jelita.

Dia berasa sangtat sayang kepada Si Tini.

Itulah serinya senyum Si Tini sehingga Si Jenggo tidak terangkat muka setiap kali bertembung dengannya.

Sesekali dia terasa Si Tini tidak akan mahu menerima cintanya kerana darjat mereka jauh berbeza.

Si Tini memang dianggap daripada keluarga terkaya di kampung itu.

Bapanya punya kebun lada sampai seribu cuat.

Dusun durian mereka, sampai tidak terjual jika sudah berbuah.

Huma lagi, entah berapa puluh jerami mereka di kaki Gunung Gading di belakang kampung.

Dan dalam setiap pertembungan itu jugalah dia dapat merasakan bunga seri wajah Si Tini itu bunga seri wajah kepunyaannya.

Di wajah itulah terpacaknya rasa sayangnya kepada seorang perempuan.

Dalam keadaan begitu dia lupa bahawa Si Tini anak kepada orang kaya, hidupnya senang, di kampung mereka.

Beratus-ratus kali dia hendak menyatakan perasaanya itu kepada Si Tini, lidahnya tetap kelu.

Baca lain  Nukilan ABIZAI

Dia memang kerdil. Bodoh!

Pernah dia mengutuk dirinya, namun kutukan itu tidak pernah berjaya menggogah dan melonjakkan keberaniannya.

Namun kali ini, Si Jenggo sudah nekad.

Dia sedar bahawa gawe basaroh dalam impian KK Antoni itu bertujuan untuk mupuk keakraban sesama jiran, kamaruk, warga sekampung.

Dalam gawe basaroh, oleh sebab konsep utama ialah perpaduan, pasal makan minum, cuma sedikit sahaja di sebuah rumah.

Si Jenggo faham akan semuanya.

Nek Johan pernah mengisahkannya ketika dia masih kecil dulu.

Setiap singgah di manamana rumah, tidak akan lama.

Yang penting ada duduk, ada minum, ada nyadong.

Masa perlu dikawal kerana semua rumah wajib dikunjungi.

Kemuncaknya nanti adalah di rumah panguyukng rumah di dalam kampung atau di rumah yang sudah terpilih akan menjadi kemuncaknya.

Kemuncak basaroh.

Rumah itu pun mesti dipersetujui bersama.

Kali ini KK Antoni yang menetapkannya.

Gawe basaroh sebenarnya ada perancangan agar benarbenar mencapai tujuannya.

Menurut KK Antoni, tujuan utamanya kali ini, pada tahun ini, semata-mata basaroh sudah lama tidak diamalkan.

Dan kadang-kadang ketika rumah tertentu mengadakan apa-apa sahaja jenis gawe, ada-ada sahaja orang yang tidak nonton.

Si Jenggo tidak kisah semua itu.

Pulangnya gawai ini ialah pulang kerana Si Tini.

Dan basaroh itu tetap akan membelok dan singgah di rumah Si Tini.

JODOH

Si Tini ada rumah yang sangat besar. Sebagai perempuan yang belum bertemu jodoh, rumah itu sangat besar, malah terlalu besar.

Dan basaroh itu akan ke rumahnya. Si Hamdan benarbenar pasti.

“Aku lihat sendiri senarai rumah yang terlibat,” kata Si Hamdan meyakinkan dia.

Dia sudah nekad.

Dia pasti, kalau kepalanya sudah pening oleh tuak dan arak sadong, hatinya akan berani.

Dan kalau dia masih kecut perut juga kali ini, di dinding rumah Si Tini itulah juga dia akan menghantukkan kepalanya, biar Si Tini tahu betapa bodohnya dia.

Dan betapa pengecutnya dia sebagai laki-laki.

Si Jenggo tahu memang ada dalam kalangan rombongan basaroh itu nanti yang akan tasampek, ngaumpek awal kerana alah pada tuak dan arak, tetapi dia akan pastikan gagahnya gagah Si Jenggo yang sejati.

Kali ini sahaja! Tekadnya disauhkan dengan genggam tinju yang sungguh-sungguh.

Di rumah Si Tini besok, dia akan tanya Si Tini sendiri, mengapa sampai sekarang dia cuma ada anak angkat.

Si Mamat, Dayak Biawak yang sasa pada usianya di SMK Londok ketika itu, pun tampak meninggalkan harapan hingga ke tua.

Tapi keadaan Si Tini tidak pernah bersuami merupakan peluang bagi dirinya. 

Dapat dirasakannya Si Tini memang setia kepadanya sebenarnya.

Cuma dia tidak ada bukti.

Aku pun tidak pernah berbini, fikirnya.

Dan dia benarbenar terasa kesetiaan mereka berdua memang bertaut bagai buhul kasih yang menyerupai setia cinta Rumi dan Juli.

Apa bezanya kami?

Kalau di hujung Gawe Basaroh itu dia terus nangket dengan Si Tini, alangkah.

Dah dig dug di dadanya meresap sampai ke kepala.

Terlalu gemuruh rasanya hingga tidak terkata jika dia akan memeluk erat Si Tini pujaannya sekian lama.

Baca lain  HARGAI SEBELUM HILANG

Dan kalau dia bersua Si Tini nanti, dialah yang akan menyata, “hello sayang,” biar kata-kata itu menjadi usikan orang kampung sepanjang hayat.

Dan dia juga akan ucapkan, “Tini, aku sayang kepadamu.” Dapat dibayangkannya Si Tini juga akan kemalu-maluan menjawab, “aku juga sayang.”

Tapi kalau tidak pada gawe basaroh kali ini bila lagi! Berkali-kali Si Jenggo menelan tekad itu dengan debar dagdig-dug yang menggoncang.

“Mengapa pendiam sangat ni?” usik KK Antoni.

Si Jenggo gagal menggagahkan diri untuk menyahut.

Kepalanya semakin berdenyut. Seingatnya sudah tujuh buah rumah dinaiki oleh rombongan basaroh mereka yang 16 orang itu.

TUKANG SADONG

Di setiap rumah sudah ada tukang sadong menunggu dengan botol arah dan gelas kecilnya.

Seorang rakan mereka, sudah tumbang di tepi denai sebelum sampai di rumah yang keenam itu tadi.

Dia sendiri kian terasa hoyong-hayangnya.

Kepalanya kian berdenyut luar biasa.

“Ini orang tidak selalu ada di kampung.”

Si Jenggo terasa dirinya menjadi sasaran.

“Nah gelas kamu. Minum habis.”

Si Jenggo cuma mampu menganga di muka pintu.

“Dua buah rumah lagi, kita akan sampai di rumah Si Tini,” ujar Si Doris, isteri KK Antoni yang ikut sama basaroh.

Ujaran itu menempiasi pendengaran Si Jenggo. Dia cuba menyatakan sesuatu kerana terasa ujaran itu sengaja dilontarkan kepadanya, tetapi kepalanya sudah terlalu berat.

Di rumah Si Otoh, rumah yang ke sebelas dalam senarai basaroh mereka, ketika naik tangga, Si Jenggo tersepak benduk di kepala tangga.

Dia hilang kawalan lalu terjerembap.

Pandangannya berpinar-pinar, berpuing-puing dan seterusnya gelap.

“Selepas ini ke rumahku kan?” Si Tini tiba-tiba muncul dari dapur rumah Si Otoh sambil meninjau-ninjau kedudukan matahari di ufuk Barat.

“Ya, betul,” kata KK Antoni.

Matanya kian merah.

Tajuit dan patah tutur suku katanya kian basah dan berjejer.

“Tapi Si Jenggo sudah tidak dapat duduk.”

Seketika kemudian kedengaran dengkur yang nyaring dari pernafasan Si Jenggo di tengah-tengah ruang hidangan basaroh rumah Si Otoh.

Si Tini memandang anggota gawe basaroh sambil menoleh kepada KK Antoni lalu senyum tawar.

Di ufuk barat senyum suria kian kusam dalam kemeriahan gawe basaroh yang diketuai sendiri oleh KK Sabiris.

Seketika kemudian dia berpaling untuk pulang menunggu kedatangan rombongan gawe basaroh.

Anak-anak ayam kian tenteram di dalam cakup kepak dan bulu ibu mereka masingmaing.

Gawe tahun depan, ayam itulah yang digunakan untuk melengkapkan buis mereka yang Gawai.

GLOSARI: basaroh – dikunjungi semuanya sebuah rumah demi sebuah rumah buis – kelengkapan hidangan untuk dijampi dalam upacara gawai gawe – gawai kamaruk – mereka yang ada kaitan keluarga nangket – berkahwin secara adat Salako ngaumpek – muntah dengan banyak nonton – menghadiri majlis gawai panguyukng – peneman pujaan – kekasih sadong – disuguhi minuman (secara adat) dan minuman itu (tuak atau arak) mesti diminum secara adat.

Yang melakukan sadong akan menunggu sehingga minuman di dalam gelas kecil habis diminum baharu beredar untuk nyadong orang lain. tasampek – tumbang (lalu tidur) kerana mabuk arak.

BERITA LAIN

Selamat tinggal, perempuan berambut putih

CLAYTON ROBERT bertugas Sebagai Pembantu Penguat Kuasa di Majlis Daerah Serian di Serian, Sarawak. Karya beliau tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah termasuk Mingguan Malaysia,

Matinya presiden kami!

Seluruh jelata Asmaraloka dikejutkan dengan khabar liar yang berhembus sejak semalam itu. Semacam tidak percaya, rasanya baru seminggu lepas presiden mereka itu mendapat tepukan dan

Nukilan Effa Raifana

EFFA RAIFANA. Nama sebenar beliau ialah Nur Raifana Abdullah @ Deborra Michael. Kelahiran daerah Dalat, Sarawak. Berkhidmat di Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak. Bergiat aktif

Kilau Ramadan

Saat siang datang mewarnai kelaparan Betapa kemiskinan kian tumbuh di ladang Kilau ramadan menyamar lentik kehampaan Haus dan lapar mendayung saling menghayati setelah siang menuntut

Sanggar Puisi

HARUMAN RAMADAN Hirupan mewangi akrab bersama alunan suci Rempah taqwa membalut diri Ujian menahan nafsu Sepurnama Ramadan hadir Maghfirah diburu insani Mawaddah iqra itulah penyeri

Oyeng dan lelaki berwajah Bonoba

AWANG JOHARI JULAIHI menggunakan nama pena: Johari A. Julaihi, berasal dari Simunjan dan menetap di Kota Samarahan, Sarawak. Berpendidikan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian

BERITA TERBARU

PDRM

Suspek kes amang seksual ditahan di Miri

SRI AMAN: Suspek lelaki dikehendaki polis yang disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di kawasan tanah perkuburan lama, Kampung Kubal, Betong ditahan Jumaat

Pemancing udang jumpa mayat terapung

MIRI: Sembilan pemancing udang galah dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak sempurna di Sungai Kuala Baram di sini, hari ini. Ekoran itu,