Gaya politik baharu dalam PRK Jepak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Bernama

PILIHAN Raya Kecil Dewan Undangan Negeri N67 Jepak berakhir tenang Sabtu lalu.

Sejak proses penamaan calon pada 21 Oktober lalu hingga hari pembuangan undi dan pengumuman keputusan, tiada sebarang insiden direkodkan.

“Hanya lima laporan dan ia kesalahan kecil,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata kepada penulis.

Pilihan raya itu menyaksikan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee, menang dengan memperoleh 9,638 undi.

Di atas kertas, beliau merekodkan sebanyak 8,784 undi majoriti dengan kedua-dua lawannya; calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak, Chieng Lea Phing hanya membawa pulang 431 undi, manakala calon Parti Bumi Kenyalang, Stevenson Joseph Sumbang 854 undi – sekali gus hilang wang pertaruhan.

Pun begitu, yang menjadi isu panas ialah peratusan turun mengundi, hanya sekitar 48.57 peratus daripada 22,804 pemilih berdaftar.

Pada Disember 2021, ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak, calon GPS Datuk Talib Zulpilip membawa pulang 6,277 undi dengan saingan terdekatnya ialah calon Parti Sarawak Bersatu, Dr Raba’ah Tudin yang membawa pulang 2,034 undi.

Allahyarham Datuk Talib menang dengan majoriti 4,243 undi. Jumlah keluar mengundi ialah sekitar 62.96 peratus daripada 14,643 pemilih berdaftar.

Melihat kepada isu ini, ramai pada Sabtu lalu menuding jari kepada pengundi muda – sekitar 8,100 orang yang gagal turun seterusnya menyumbang kepada kejatuhan peratusan keluar mengundi.

Untuk rekod, jumlah pengundi muda dan baharu yang memasuki daftar pemilih ialah sekitar 35.7 peratus.

Definisinya mungkin mereka yang berumur 18 hingga 28 tahun.

Realitinya, kita perlu berpegang kepada data rinci dan mikro, termasuk mengenal pasti setiap satu individu baharu ini, apa pekerjaan dan jika masih bersekolah, di mana? 

Lebih baik jika ada nombor telefon bimbit atau alamat kepada media sosial – bagi mengkaji sikap dan minat mereka.

Setelah tahu segala data ini, barulah adil untuk kita menuduh mereka menjadi punca jumlah keluar mengundi merudum teruk dalam PRK ini.

Dalam mana-mana PRK, banyak faktor yang menyumbang kepada keengganan pemilih untuk turun melaksanakan hak mereka.

Bermula dengan parti dan calon yang bertanding sehingga kepada sikap dan minat calon ini dalam kempen.

Juga tanggapan mereka terhadap politik, tanpa mengabaikan mereka berasa kecewa dengan politik nasional yang tampak tidak matang dan tidak boleh dipercayai.

Semua pihak tahu bahawa calon GPS telah menang sejak 21 Oktober lalu.

Ini kerana seluruh pemilih tahu dan memahami parti yang diwakili oleh pencabar tidak memiliki karisma dan objektif jelas. Malah calon yang ditampilkan mereka tidak memiliki ciri-ciri tokoh politik yang mencabar.

Sebaliknya ini bukan satu keselesaan bagi para jurukempen, kerana kesannya, mereka akan menemui golongan pemilih atau sasaran yang pasif.

Maka wujudlah sindrom tidak perlu turun mengundi kerana sudah pasti calon GPS yang dominan akan menang.

Yang berada jauh di luar kawasan mengundi akan berfikir dua tiga kali untuk pulang kerana ia akan melibatkan tujahan kos.

Dan dalam keadaan hidup yang sukar dan beban ekonomi yang berat, berbelanja untuk perkara tidak perlu adalah merugikan.

Justeru itu, ia turut menjadi punca mengapa mereka memilih untuk tidak pulang, apatah lagi melihatkan calon GPS sudah selesa mendahului.

Dalam pilihan raya kali ini, dilaporkan wujud majikan yang tidak membenarkan pekerja mereka untuk keluar mengundi, terutamanya pada waktu syif bekerja.

Penulis tidak pasti sejauh mana akan kebenaran perkara ini, namun dikatakan ia juga menjadi faktor yang mempengaruhi kurangnya jumlah mereka yang hadir ke peti undi.

Alasannya, majikan berpandangan PRK tidak akan mengubah kerajaan berbanding PRU dan PRN.

Tetapi hakikatnya, dalam PRK ini, kebanyakan kempen tidak semuanya dapat mencapai sasaran tepat untuk semua pihak.

Jika diadakan sebelah siang, jumlah kehadiran penyokong adalah kecil atau tertumpu kepada suri rumah.

Ia hanya menjadi sedikit ramai jika diadakan pada sebelah malam.

Bagi GPS, ini adalah kelebihan kerana memiliki jentera yang besar, yang hadir daripada parti komponen. Justeru mereka boleh melakukan pelbagai aktiviti dan mengimprovisasi kempen.

Sedihnya melihat parti lawan, yang sekadar bergantung kepada poster, lawatan ke beberapa kampung dan rumah panjang selain gimik untuk tarikan media.

Jika tidak, keberadaan mereka akan samar, malah sirna.

Seolah-olah tiada pertandingan yang berlaku kerana di mana-mana, hanya poster GPS yang dominan.

Maka yang perlu ditangani adalah undi protes dan isu tempatan yang berbangkit seperti yang berlaku di Jepak.

Tidak boleh tidak, perkara itu akan wujud kerana sifat manusia yang berpihak dan berpuak.

Namun perkara yang menarik dalam PRK ini ialah jumlah undi pos yang ditolak kerana tidak lengkap.

Untuk rekod, tiada undi awal diadakan pada kali ini, kerana dikatakan semua pemilih undi awal ini mengundi secara pos.

Namun menurut sumber, terdapat puluhan daripadanya terpaksa ditolak kerana tiada tandatangan majikan.

Mungkin ramai yang beranggapan ini mungkin berlaku pada PRK ini sahaja.

Tetapi hakikatnya, inilah politik baharu yang perlu difahami.

Tanpa parti dominan dan kaya seperti sebelum ini yang semuanya sudah berada dalam komponen Kerajaan Perpaduan pilihan raya yang akan berlangsung selepas ini akan menerima situasi sama.

Semua pihak perlu bersedia untuk menerima hakikat baharu ini, kerana jika berlaku, maka jumlah calon Bebas mungkin akan bertambah pada masa depan, dengan isu akan diperam lebih awal sebelum diluahkan dalam mana-mana pilihan raya.

Dan mereka sudah pasti akan memberi tumpuan kepada kumpulan 1828 yang dikatakan gagal menyerlah pada PRK Jepak kali ini.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Gibran di mata Prabowo

PEMILIHAN presiden (Pilpres) Indonesia berlangsung 14 Februari 2024. Sejumlah survei