ARTIKEL

Gaza: WHO keluarkan 14 pesakit dari Hospital Nasser

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ISTANBUL: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membantu memindahkan 14 pesakit dari Hospital Nasser di bandar Khan Younis yang dikepung tentera Israel, menurut Kementerian Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pesakit itu, termasuk lima yang sedang menjalani dialisis dan tiga lagi yang sedang dirawat di unit rawatan rapi, telah dihantar ke hospital di selatan, lapor Agensi Anadolu.

Israel terus menerima tekanan untuk memindahkan kesemua pesakit di Hospital Nasser selepas hospital tersebut diubah suai menjadi berek tentera dan rejim Zionis memutuskan bekalan elektrik selain menghalang peranti oksigen daripada beroperasi.

Terdahulu, kementerian berkata 150 pesakit di hospital berkenaan tidak mendapat sebarang rawatan manakala 70 anggota kesihatan telah ditahan.

Israel juga tidak membenarkan pesakit dipindahkan ke hospital lain.

Kementerian Kesihatan di Gaza sebelum ini mengumumkan bahawa jumlah pesakit yang meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital Nasser meningkat kepada lapan orang akibat pemberhentian operasi penjana dan peranti oksigen.

Israel menggempur Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 dan sudah membunuh hampir 29,000 orang setakat ini selain menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Baca lain  Hong Kong: Taufan Saola kian hampir, Cathay Pacific batal penerbangan

Rejim Zionis itu dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan keputusan sementara pada Januari lepas mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan disalurkan kepada orang awam di Gaza. – BERNAMA-ANADOLU

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Hina Premier Sarawak, tiga Setiausaha lapor polis

KUCHING: Tiga Setiausaha kepada Premier Sarawak bertindak membuat laporan polis berhubung kes dipercayai menfitnah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg oleh