Gelandangan ada harga diri

KUCHING: Gelandangan mempunyai harga diri dan mahu meneruskan kehidupan dengan bekerja dan tidak mahu meminta sedekah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kebanyakan gelandangan tidak mahu ditempatkan di institusi tertentu kerana mereka mahu berdikari dan bebas.

Menurutnya, walaupun jumlah gelandangan di negeri ini jauh lebih rendah berbanding di Semenanjung, ia tidak boleh dipandang enteng dan usaha berterusan membantu golongan ini perlu bagi mengelakkan pertambahan pada masa akan datang.

“Matlamat dalam diri mereka ini penting. Saya hormati sikap seperti ini iaitu mahu berdikari untuk meneruskan kehidupan.

“Mereka cuma perlukan bantuan dari segi tempat transit, malah ada juga yang memerlukan pekerjaan tetap.

“Mendapatkan pekerjaan merupakan cabaran bagi mereka kerana pendidikan dan kemahiran.

Namun selagi berdikari, saya jamin mereka akan mendapat kerja halal untuk meneruskan kehidupan tanpa perlu menjadi gelandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika bertemu dengan gelandangan tidak jauh dari Lebuh India pada Selasa.

Fatimah berkata, kementeriannya menerusi projek rintis kini membantu gelandangan di Sibu dengan mewujudkan sebuah pusat transit yang turut dirancang dilaksanakan di beberapa kawasan lain di bandar utama seperti Kuching, Bintulu dan Miri.

“Mereka (gelandangan) amat memerlukan tempat untuk berteduh pada waktu malam dan membersihkan diri sebelum keluar bekerja pada hari keesokan harinya.

“Saya telah berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi lain untuk melihat secara terperinci potensi setiap individu (gelandangan) di Kuching yang memerlukan pusat transit bagi mereka berteduh.

“Juga melihat kemahiran yang ada pada mereka agar mendapat pekerjaan yang halal,” katanya lagi.