Gelandangan disuntik mulai Ogos

KUCHING: Operasi Vaksinasi Gelandangan akan dilaksanakan di sembilan bahagian di negeri ini bermula 8 Ogos depan, jelas Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, ia dilaksanakan bagi memastikan tiada golongan tercicir menerima vaksin termasuk gelandangan yang bukan dalam mana-mana institusi.

“Justeru, operasi akan dilaksanakan di bawah kementerian dengan kerjasama bersepadu melibatkan Pejabat Residen, Pejabat Kesihatan Bahagian, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian, PDRM, Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada program vaksinasi di Desa Bina Diri Kuching, pada Isnin. Beliau turut memaklumkan, perancangan untuk pemberian vaksin satu dos adalah pilihan terbaik memandangkan keadaan gelandangan yang sering berpindah-randah.

“Sehubungan itu, untuk mengelakkan keciciran menerima dos kedua, semua pihak berpandangan suntikan vaksin dos tunggal sesuai bagi mereka,” ujarnya.

Tambah Fatimah, sebelum Operasi Vaksinasi Gelandangan bermula, pihak kementerian dan agensi berkaitan akan mengadakan Operasi Cerapan Gelandangan bermula 18 Julai hingga 1 Ogos depan bagi mengesan serta mendapatkan profil gelandangan dan mengurus keperluan vaksinasi gelandangan.

“Setakat Julai lalu, jumlah gelandangan yang aktif di Sarawak seramai 221 orang dan jumlah ini akan didaftarkan untuk mendapat vaksin. “Bandar besar mencatatkan jumlah gelandangan yang tinggi ialah Kuching seramai 92 orang, diikuti Miri (66), Sibu (30), Bintulu (21), Sarikei (lima) dan Sri Aman (satu),” katanya.

Ujarnya, Kerajaan Sarawak komited untuk menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat berjaya divaksin untuk mencapai imuniti kelompok. “Diharapkan agar kita semua berjaya mencapai imuniti kelompok dalam jangka masa terdekat dan semua golongan akan memperoleh manfaat daripada vaksin yang diberikan,” katany

Suara Sarawak